BERITA ABPBH

Calon ABPBH 33 ajak patuhi SOP

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 ketika negara 'berperang' dengan pandemik COVID-19 menyebabkan banyak perkara dirancang tidak dapat dilaksanakan seperti siri jelajah dan sesi bersama kelab peminat.

Malah, malam kemuncak ABPBH 33, November depan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan sosial terutama dalam aspek penonton yang dibenarkan hadir.

Namun, biarpun dianjurkan dengan penerapan norma baharu, tidak bermakna ABPBH 33 menjadi hambar. Sebaliknya, artis bertanding mempunyai strategi memastikan acara meriah biarpun tidak dapat bertemu peminat secara fizikal.

Bagi penyanyi Ernie Zakri, media sosial menjadi medium baginya berkempen dan meraih undian peminat.

"Apabila difikirkan kembali, saya mengaku tugas kali ini agak sukar kerana tidak dapat berjumpa peminat dan memberi semangat kepada mereka.

"Perasaannya lain apabila kita turun padang dan menyokong mereka mengundi. Namun, itu bukanlah halangan kerana saya boleh menggunakan media sosial untuk tujuan itu.

"Saya aktif dalam Instagram (IG) di mana melaluinya, saya berkempen atau 'menjual' diri supaya peminat peka dan mengundi saya.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu, saya sudah biasa dengan situasi begini. Peminat sekarang lebih banyak menggunakan telefon pintar, jadi tiada masalah," katanya kepada BH Online.

Berdepan norma baharu ini, Khai Bahar yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi reda semua pihak perlu akur dengan SOP ditetapkan.

Bagi Khai, pergantungan kepada teknologi dan gajet bukan asing bagi BH kerana undian secara online dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

"Undian dibuat di hujung jari. Saya percaya amalan ini sudah biasa, tidak kiralah ketika berdepan pandemik atau tidak... Ia bukan suatu masalah.

"Saya percaya undian peminat kepada artis kesayangan termasuk kelab peminat saya, Khai Bahar Empire (KBE) untuk ABPBH 33 adalah seperti biasa.

"Barangkali kemeriahan di mana peminat datang ke siri jelajah dan malam kemuncak dengan membawa sepanduk dan pasukan sorak, sudah tidak dapat dilihat kali ini," katanya.

Berkongsi pandangan sama, teman duet Khai untuk lagu Satukan Rasa, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana, percaya artis perlu lebih berusaha meraih undi kali ini.

"Kalau dulu kita boleh jumpa secara berdepan, kali ini, Nana menggunakan kemudahan yang disediakan di media sosial.

Aina ketika hadir pada majlis pelancaran virtual ABPBH 33, malam tadi. Foto IG Aina Abdul
Aina ketika hadir pada majlis pelancaran virtual ABPBH 33, malam tadi. Foto IG Aina Abdul

"Nana akan selalu lakukan 'live' di IG untuk melayan peminat dan berbual dengan mereka. Nana akan lakukan 'swipe up' di IG Story untuk memudahkan peminat mengundi," katanya yang mahu menghiburkan peminat dengan tampil menyanyi di Smule.

Seiring peredaran semasa, Aina Abdul yang popular dengan lagu Sumpah dan Semalam, meminta semua pihak memaksimumkan penggunaan platform digital termasuk media sosial.

"ABPBH sudah memulakan undian dalam talian. Jadi, prosesnya tidak lagi serumit undian melalui borang akhbar. Ini bermakna, proses itu lebih terkawal dan selamat.

"Namun, mungkin kepuasan peminat dan penonton menikmati malam kemuncak ABPBH 33 sedikit terjejas. Namun, kita ada alternatif menonton atas talian.

"Suka atau tidak, kita kena biasakan diri. Apa yang terjadi memberi 1,001 hikmah untuk kita lebih menghargai nyawa. Dalam apa juga situasi, saya percaya penganjur lebih tahu apa yang terbaik termasuk dalam soal pematuhan SOP," katanya.

Sudah biasa dengan kemeriahan dan sorakan peminat pada malam kemuncak, Haiza Hanafi tidak dapat membayangkan bagaimana acara besar yang selama ini didominasi kelab peminat dan penyokong, berubah.

"Mungkin penganjur ada cara tersendiri untuk memberi nafas baharu pada malam kemuncak. Mungkin tiada pembabitan peminat atau sejumlah tertentu sahaja diberi pelepasan menontonnya kerana mematuhi SOP.

"Semua orang tahu pada acara anugerah seperti ABPBH, sorakan peminat jadi teras dan nadi. Itulah semangat yang artis serap ketika menang atau tewas," kata penyampai radio Kool FM ini.

Mencipta sejarah dalam penganjuran lebih tiga dekad, edisi ke-33, ABPBH dilancarkan secara virtual, malam tadi, bagi mematuhi peraturan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengawal penularan pandemik COVID-19.

Dipancarkan secara langsung melalui akaun YouTube dan Facebook (FB) BH, majlis pelancaran ABPBH 33 membuka era baharu dalam penganjuran acara anugerah tempatan, apabila muncul acara anugerah pilihan peminat pertama dirasmikan atas talian, sekali gus menerap norma baharu dalam penganjuran kali ini.

Majlis pelancaran yang dikendalikan Haiza, turut mengumumkan syarikat elektronik multinasional China, Xiaomi sebagai penaja utama acara anugerah berprestij ini yang mengangkat #ABPBHKITA2020 sebagai tema.

Tampil pada majlis pelancaran maya itu adalah Ketua Integrasi, Komersial dan Multimedia, The New Straits Times Press (NSTP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden Serantau Asia Tenggara Xiaomi, K M Leong.

Bermula jam 9 malam, pelancaran virtual ABPBH 33 diserikan dengan kehadiran bekas pemenang lalu iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 2009, Nabil Ahmad dan dua penyanyi yang masing-masing pernah meraih trofi Penyanyi Lelaki dan Penyanyi Wanita Popular iaitu Khai dan Siti Nordiana.

Paling istimewa, Bintang Paling Popular ABPBH 32, Mira Filzah membuat kemunculan secara maya dalam temuramah langsung menceritakan detik kemenangannya, tahun lalu.

Tidak ketinggalan, dua vokalis wanita yang bersaing dalam kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Ernie dan Aina membuat persembahan mendendangkan lagu hit mereka pada penghujung siaran langsung.

Turut dipaparkan, persembahan bakat baharu, Yonnyboii dan Shalma Eliana mendendangkan lagu 'jingle' baharu Xiaomi berjudul Xiaomi For Me yang kali pertama diperdengarkan.