BERITA ABPBH

Buat kerja baik-baik, bukan kejar anugerah - Liza Abdullah

[email protected]

KUALA LUMPUR: Aktif dalam dunia seni sejak era 1980-an, Liza Abdullah mengaku tidak pernah mengejar anugerah, sebaliknya memberi prestasi terbaik dalam setiap kerja dilakukan.

Terkenal dengan watak Mak Leha dalam dua musim drama 7 Hari Mencintaku, Liza tidak percaya dirinya tercalon pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 impak daripada kemunculannya dalam drama berkenaan.

"Pada mulanya, saya sangsi, betulkah nama tercalon. Sampailah ada pengikut dan peminat di Instagram (IG) meletakkan 'tag' nama saya dalam entri mereka.

Liza mengaku tidak pernah terfikir mengenai pengiktirafan dan anugerah sejak berkecimpung dalam dunia seni. Foto IG Liza Abdullah
Liza mengaku tidak pernah terfikir mengenai pengiktirafan dan anugerah sejak berkecimpung dalam dunia seni. Foto IG Liza Abdullah

"Pencalonan ini mengujakan sebab ramai pelakon drama 7 Hari Mencintaiku sama bertanding. Biar apa pun, saya ucapkan terima kasih kalau ada yang sudi mengundi saya," katanya kepada BH Online.

Liza tercalon dalam kategori Artis Komedi Popular pada ABPBH 33.

Liza berkata, dia menghargai peluang diberikan penerbit dan amanah itu dilunaskan sebaik mungkin.

"Dengan bakat kurniaan Tuhan ini, saya beroleh rezeki. Tidak pernah terfikir mengenai anugerah.

"Apabila nama saya 'meletup' dan bakat diterima, itu sudah memadai. Kalau orang hargai dan suka, ia sudah dianggap bonus," katanya yang tidak pernah puas dengan kerja seninya.

Liza mengaku ada peminat memberitahu dirinya layak menerima anugerah.

"Itu bukan kuasa dan kawalan saya. Bohonglah kalau tidak mahu menang. Cuma belum ada tuah dan rezeki.

"Saya ikhlas bekerja demi kelangsungan hidup dan membesarkan anak.

"Saya percaya kalau ikhlas dan buat yang terbaik, orang akan cari kita. Biar nama kita meniti di bibir orang. Akhirnya, hasil kerja kita yang berbicara, bukan populariti yang datang dan pergi," katanya.