BERITA ABPBH

'Bob Lokman banyak idea, suka membantu'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Aktor dan pengarah berpengalaman, Sabri Yunus adalah individu yang bertanggungjawab membawa Allahyarham Bob Lokman ke persada dunia lakonan.

Sabri berkata, arwah Bob membintangi filem pertamanya berjudul Yes Tuan pada 1995 selepas menerima ajakannya.

"Filem pertamanya, Yes Tuan arahan Zulkeflee Said. Saya ajak arwah berlakon kerana ketika itu, hanya saya sahaja rakannya menceburi bidang lakonan.

"Rakan lain semuanya cenderung dalam dunia muzik. Namun, arwah tetap memberi lakonan terbaik walaupun nama cukup dikenali dalam bidang muzik.

"Itu antara sikap terpuji yang dimiliki arwah Bob," katanya kepada BH Online.

Selain itu, Sabri berkongsi, dia juga adalah insan membawa arwah ke pentas lawak.

"Arwah kali pertama muncul membuat lawak di pentas ketika di Tokyo, Jepun.

"Saya mengajak arwah menyertai saya dan arwah Mat Busu ke Jepun. Saya dan arwah Mat Busu dijemput untuk membuat persembahan lawak di hadapan pelajar.

"Saya tak ingat di mana, tetapi di Tokyo. Sampai di sana, saya ajak arwah naik pentas sekali.

"Mulanya, arwah menolak kerana tak biasa, tetapi akhirnya, terpaksa akur. Jadi, itulah kali pertama arwah beraksi di pentas komedi.

"Selepas pulang ke Malaysia, arwah sudah mula berani melawak," katanya yang kali terakhir bertemu arwah di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan, selepas Aidilfitri lalu.

Sabri dan Angelina Tan sempat menziarahi arwah Bob di kediamannya pada Aidilfitri lalu. - Foto Facebook Bob Lokman
Sabri dan Angelina Tan sempat menziarahi arwah Bob di kediamannya pada Aidilfitri lalu. - Foto Facebook Bob Lokman

Allahyarham Bob pernah diundang menjadi pelakon jemputan menerusi sitkom komedi popular, Pi Mai Pi Mai Tang Tu menerusi episod Kaki Pau dan pernah membintangi sitkom 2+1.com.my.

Kongsi seperjuangannya, Imuda berkata, arwah antara insan yang banyak bekerjasama dengannya ketika membina nama pada era 1990-an.

"Saya mengenali arwah sejak akhir 1980-an. Ketika itu, arwah masih menjadi pengurus kumpulan Wings.

"Kami pergi 'show' dan mengendalikan program bersama. Boleh dikatakan kami bersama di merata tempat di seluruh Malaysia.

"Tak ketinggalan, kami pernah digandingkan menerusi program Telebriti terbitan RTM. Program ini mendapat sambutan cukup baik apabila disiarkan secara langsung di TV1.

"Saya dan arwah juga pernah mengendalikan Anugerah Industri Muzik (AIM) bersama.

"Arwah pernah diundang dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Jadi, kami banyak bekerjasama," katanya.

Imuda dan arwah Bob banyak bekerjasama ketika membina nama pada era 1990-an. - Foto IG Imuda
Imuda dan arwah Bob banyak bekerjasama ketika membina nama pada era 1990-an. - Foto IG Imuda

Kata Imuda, kerjasama dengan arwah Bob sangat mudah kerana beliau mempunyai banyak idea dan suka membantu.

"Kalau duduk dalam satu kumpulan, arwah paling banyak cerita, sama seperti Sabri Yunus.

"Arwah seorang kreatif. Beliau banyak idea untuk menghiburkan orang.

"Contohnya. ketika mengendalikan program, kami tiada skrip dan hanya tengok pada situasi. Jadi, kena pandai-pandailah bercakap.

"Arwah juga banyak membantu. Kalau saya datang lambat, arwah tolong mengendalikan situasi. Itulah sikapnya yang cukup disenangi ramai," katanya.

Bagaimanapun, kata Imuda, dia tidak berkesempatan menemui sahabat lamanya selepas arwah berpindah dan balik ke kampung halaman di Kelantan.

Terdahulu, Allahyarham Bob Lokman dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Demit, Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, jam 3 petang ini.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir, Kubang Kerian, selepas solat Isyak, malam ini.