BERITA ABPBH

'BH amat dekat di hati Siti'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, menyifatkan akhbar Berita Harian (BH) bukan sahaja menjadi gedung ilmu, tetapi menghadiahkan pelbagai pengalaman manis dalam kerjaya sebagai anak seni.

Mengakui membesar dengan akhbar BH, Siti Nurhaliza, 43, berkata peranan BH paling memberi impak dalam kerjayanya selepas pengiktirafan diberikan menerusi penganjuran acara prestij pilihan peminat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

"Sejarah Siti bersama BH bermula daripada zaman kanak-kanak lagi. Rasa seronok apabila dapat pegang naskhah akhbar dan membaca bersama kawan-kawan dan keluarga,

"Selepas menceburi bidang seni, Siti semakin dekat dengan akhbar BH dan melaluinya, Siti dapat mengenali dan memahami selok-belok tugas media.

"Paling tidak dapat dilupakan, acara ABPBH kerana Siti berjaya merangkul 13 trofi Penyanyi Wanita Popular, tujuh trofi Bintang Paling Popular dan menerima tiga kereta sebagai hadiah utama.

Siti mengakui peranan  BH amat signifikan dalam membentuk dan mencorakkan pemikiran masyarakat. Foto IG Siti Nurhaliza
Siti mengakui peranan BH amat signifikan dalam membentuk dan mencorakkan pemikiran masyarakat. Foto IG Siti Nurhaliza

"Selain itu, ABPBH mengajar Siti banyak perkara, terutama menghargai peranan media dan peminat," katanya kepada BH.

Ketika penganjuran ABPBH edisi ke-25 sedekad lalu, penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu turut diangkat sebagai pemenang Anugerah Seri Perak iaitu pengiktirafan terbesar terhadap pencapaian hebatnya itu.

Berkongsi pandangan mengenai sumbangan BH, Siti mengakui peranan akhbar itu amat signifikan dalam membentuk dan mencorakkan pemikiran masyarakat.

"Sepanjang penubuhannya, BH banyak menyalurkan berita dan maklumat yang mampu memberi manfaat kepada pembaca dan menjadi sahabat rakyat Malaysia.

"Walaupun berdepan dengan era digital, BH tidak ketinggalan apabila laporannya juga boleh diikuti di hujung jari," katanya yang sering mengikuti halaman berita semasa, hiburan dan sukan.

Sempena ulang tahun BH ke-65 pada 1 Julai lalu, penyanyi bervokal mantap ini mendoakan BH terus maju dan kekal dalam landasannya.

"Teruslah menjadi wadah masyarakat dengan menyalurkan berita, maklumat terbaik dan terkini kepada masyarakat," ujarnya.