Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Berkat doa suami, lagu Korban masuk AJL 37

29 Nov 2022 | Fatin Farhana Ariffin

KUALA LUMPUR: Kelayakan lagu Korban membolosi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 memberikan makna berbeza buat penyanyi, Ernie Zakri, apatah lagi, karya ciptaannya.

Lebih bermakna lagu Korban yang dihasilkan bagi menghargai pengorbanan suaminya yang juga penyanyi, Syamel.

Kata Ernie, suaminya antara insan paling gembira apabila lagu Korban mengungguli keputusan Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM 37) yang diumumkan menerusi siaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Sabtu lalu.

"Saya tulis lagu ini untuk menghargai pengorbanan suami menjaga saya ketika hamil, namun pada masa sama, berdepan dengan pemergian arwah ibunya.

"Saya melihat bagaimana suami bergelut dengan keadaan ini, jadi ia adalah pengorbanan dilakukan untuk saya dan keluarga.

"Kejayaan ini berkat doa suami dan rezeki anak. Saya juga tidak mungkin dapat menyanyikan lagu Korban sekiranya suami tidak mengizinkan. Alhamdulillah," katanya kepada BH Online.

Kata Ernie, pencapaian itu juga membakar semangatnya untuk menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

"Ini adalah peluang pertama yang saya tidak jangka dapat dicapai pada 2022. Sebelum ini, saya malu-malu nak buat lagu, segan nak bagi orang dengar, tetapi akhirnya lagu Korban berjaya melangkah ke pentas AJL 37.

"Pencapaian ini cukup memadai untuk saya lebih yakin menghasilkan banyak lagu lagi. Banyak benda yang saya kena perbaiki, jadi apapun berlaku pada AJL37, ia adalah rezeki, insya-Allah," katanya.

Pencapaian Ernie jadi pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya. - NSTP/Ezairi Samsudin
Pencapaian Ernie jadi pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak karya. - NSTP/Ezairi Samsudin

Pada masa sama, Ernie tidak menafikan, dia menghadapi kebimbangan menyampaikan lagu Korban memandangkan kualiti vokalnya terkesan selepas melahirkan anak.

"Jujurnya, banyak perubahan dari sudut pernafasan selepas melahirkan anak. Itulah juga antara kelemahan yang perlu diperbaiki segera.

"Saya juga sudah lama tidak merasakan aura pertandingan, jadi ia membuatkan saya agak tertekan. Sedangkan, saya selalu menyanyikan lagu ini, entah kenapa lagu ini jadi paling susah dinyanyikan.

"Perasaan saya mula bercampur berbaur, tetapi bila berada di pentas, saya kembali kepada trek asal.

"Saya pikul tanggungjawab besar untuk lagu Korban," katanya.

Mengulas harapan membawa pulang trofi Vokal Terbaik AJL 37, Ernie berkata, dia berserah segala-galanya kepada ketentuan rezeki, bagaimanapun tetap berusaha bersungguh-sungguh.

"Kita boleh lihat ramai penyanyi berpengalaman melangkah ke AJL 37, jadi saya kena bekerja keras dan lebih fokus. Kalau ada sasaran yang nak dicapai, saya kena cuba capai ke arah itu.

"Jika mahukan Vokal Terbaik AJL 37, saya cuba capai. Namun, penghujungnya, ia tetap berbalik kepada rezeki.

"Saya tidak mahu terlalu tertekan sebab AJL tetap berlangsung, setiap tahun.

"Jika lagu Korban tidak membawa pulang kejayaan, akan sentiasa ada peluang seterusnya untuk saya capai. Jadi, saya tidak mahu meletakkan tekanan pada diri. Dapat atau tidak, itu rezeki saya," katanya.

Menerusi AJL 37, Ernie akan bertarung dengan barisan penyanyi yang memiliki vokal ampuh seperti Marsha Milan Londoh, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim dan Shila Amzah.