Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Kemunculan penyanyi muda berbakat besar bukan sekadar menghangatkan industri muzik, malah tersandar harapan agar kelompok digelar 'budak baharu nak up' atau BBNU ini menjadi pelapis kepada bintang yang sudah lama menyinar.
Bagaimanapun, ada yang menganggap mereka bagaikan ancaman kepada penyanyi senior berdasarkan bakat serta populariti diraih menerusi media sosial.
Situasi itu menyebabkan ada antara penyanyi 'otai' enggan beraksi di pentas sama kerana bimbang bakat dan keupayaan mereka dibandingkan.
Sebagai penyanyi yang dilihat sering tampil dalam persembahan bersama bakat muda malah kerap bersaing dalam pelbagai pertandingan bersama, Misha Omar tidak melihat kehadiran artis baharu perlu digeruni.
"Tidak perlu rasa takut atau terancam dengan penyanyi generasi baharu. Setiap orang ada kelebihan sendiri. Rezeki Allah itu luas dan selera pendengar berbeza-beza.
"Kita kena raikan perbezaan. Setiap kelemahan atau kelebihan seseorang artis pasti ada keistimewaan tersendiri yang disukai peminat.
"Misha Omar tidak boleh berada di semua tempat pada satu-satu masa. Jadi, kita kena kongsi rezeki itu dengan penyanyi lain.
"Jadi penyanyi senior tidak perlu ada rasa rendah diri atau takut untuk menyanyi hanya kerana kehadiran generasi muda yang hebat," katanya.
Misha atau nama sebenar, Samihah @ Aisah Omar menyarankan supaya semua pihak berhenti membandingkan penyanyi baharu dan lama dengan niat melaga-lagakan.
"Tidak perlu hendak bandingkan siapa paling hebat, siapa tidak. Setiap daripada kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kalau tiada yang lama, tiada yang baharu.
"Jujurnya saya tenang sahaja, tiada langsung perasaan berlawan... Tak payahlah," katanya sambil tertawa.
Mengulas persiapan menjelang Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) tidak lama lagi, Misha yang mempertaruhkan lagu Tanpa Rela hasil ciptaannya bersama komposer Lee Sze Wan, mengaku berdebar.
"Apabila memikirkan ini julung kali saya bertanding sebagai penyanyi dan komposer, rasa macam hendak muntah pun ada.
"Barulah saya dapat rasa apa yang Hael Husaini, Naim Daniel dan Aina Abdul lalui apabila bertanding atas tiket lagu sendiri.
"Fokus saya sudah semestinya daripada aspek vokal... Kena belajar vokal dengan cikgu Datuk Syafinaz Selamat," kata penyanyi bervokal gemersik ini pada sidang media majlis Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar anjuran The H Entertainment Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.
Yang turut hadir pada sidang media itu, Pengarah Urusan The H Entertainment, Arman Muhammad Mustafa.
Walaupun pernah beberapa kali menjulang trofi pada Anugerah Juara Lagu (AJL), Misha tidak menganggap laluan mudah bagi melepasi peringkat saringan itu.
"Ada 30 lagu yang memasang impian sama untuk melangkah ke peringkat akhir. Berdasarkan pengalaman lalu, apabila beraksi di peringkat separuh akhir, pasti nyanyian saya 'goyang' sedikit.
"Saya tak mahu bebankan diri dan mahu bersikap positif. Kalau ada rezeki lagu ini mara ke final, saya gembira.
"Jika tidak, pasti ada kekurangan di mana-mana dan saya akan perbaiki pada masa akan datang," katanya.
Mengenai penampilannya pada Malam Gala Amal Bunga Bunga Cinta Misha Omar di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada 19 Februari depan, penyanyi yang meledak dengan lagu Sampai Bila ini tertarik menjayakannya atas objektif digariskan.
"Selain melihat kesesuaian daripada segi masa dan mahu melihat industri hiburan terus bernafas, saya tertarik kerana misinya yang lebih kepada kebajikan.
"Selain membantu yayasan kebajikan terpilih, insan terkesan dengan pandemik COVID-19 dan bencana banjir, sebahagian daripada hasil jualan meja akan disumbangkan kepada Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA)," katanya.
Untuk memeriahkan lagi acara, penganjur mengundang dua penyanyi yang juga alumni program realiti Akademi Fantasia (AF) iaitu Dafi dan Zarol Zarif untuk membuat persembahan.