BERITA ABPBH

Bapa Anzalna bakal CEO baharu FINAS

[email protected]

KUALA LUMPUR: Teka-teki siapa yang bakal menduduki jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mengisi kekosongan selepas Ahmad Idham Mohd Nadzri meletakkan jawatan pada pertengahan bulan ini bakal terjawab, tidak lama lagi.

Tidak sampai dua minggu kerusi CEO dikosongkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan FINAS dikatakan sudah menemui pengganti mengisi jawatan 'kerusi panas' berkenaan.

Hari ini, berita pelantikan CEO baharu FINAS heboh diperkatakan apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memuat naik ucapan tahniah kepada Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, 62, yang dikatakan bakal menggantikan Ahmad Idham berkuatkuasa 1 November ini.

Dr Md Nasir yang juga bekas Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah & Penyelidikan), Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, UPSI adalah bapa kepada tiga pelakon adik beradik, Anzalna Nasir, Afifah Nasir dan Mia Nasir.

Sementara itu, BH Online cuba mendapatkan pengesahan Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berhubung pelantikan ahli akademik berstatus profesor itu.

Zakaria berkongsi, FINAS masih dalam proses akhir dalam pelantikan CEO baharu dan keputusan masih belum muktamad lagi. - Foto Facebook Zakaria Abdul Hamid
Zakaria berkongsi, FINAS masih dalam proses akhir dalam pelantikan CEO baharu dan keputusan masih belum muktamad lagi. - Foto Facebook Zakaria Abdul Hamid

Zakaria berkata, dia tidak tahu bagaimana berita berkenaan boleh tular, sedangkan perkara itu masih belum muktamad.

"FINAS masih dalam proses akhir dalam pelantikan CEO baharu. Setakat ini, keputusan masih belum muktamad lagi.

"Oleh itu, pengumuman rasmi belum dapat dibuat. FINAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik proses pelantikan dimuktamadkan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas sama ada Dr Md Nasir layak memikul jawatan sebagai CEO, Zakaria tidak menafikan, beliau layak melihatkan latar belakang pendidikan dan pengalaman sebagai pensyarah Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif - Jabatan Seni dan Reka Bentuk, UPSI.

Terdahulu, pengarah dan penerbit, Ahmad Idham dilantik sebagai CEO FINAS pada Mac 2019. Hampir dua tahun setengah menerajui perbadanan itu, Ahmad Idham mengundurkan diri dan bakal memikul tanggungjawab lebih besar untuk membawa industri kreatif ke persada antarabangsa.