BERITA ABPBH

Bacaan oksigen 100, pendarahan dalam paru-paru Nad terhenti

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pelakon Nad Zainal, 32, yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang akibat paru-paru berdarah, mula menunjukkan perkembangan positif, pagi ini.

Perkembangan terbaharu Nad yang dipercayai mengalami autoimun iaitu keadaan di mana sistem imun menyerang sel atau tisu sendiri, dikongsi rakannya, Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz.

Ungku Ismail berkata, dia dihubungi hospital yang memberitahu paras oksigen dalam darah Nad sudah mencecah bacaan 100 dengan alat bantuan pernafasan.

Justeru, kata Ungku Ismail, doktor akan cuba mengurangkan kekuatan alat bantuan pernafasan berkenaan bagi memantau tahap oksigen Nad.

"Alhamdulillah, oksigen Nad sudah mencecah bacaan 100. Doktor akan cuba kurangkan kuasa bantuan alat pernafasan berkenaan.

"Satu lagi perkembangan positif, pendarahan pada paru-paru Nad sudah berhenti dan mengering.

"Nad memberikan tindak balas positif kepada ubat diberikan," katanya kepada BH Online.

Ungku Ismail berkata, doktor menjelaskan keadaan Nad kini lebih baik.

"Cuma doktor bimbang kemungkinan ada jangkitan pada buah pinggang kerana mereka dapati radang pada organ berkenaan.

"Mereka menanti pakar buah pinggang untuk membuat pemeriksaan lanjut," katanya.

Ungku Ismail yang berada di sisi Nad sejak teman gandingannya dalam drama Cina Buta itu dimasukkan ke hospital, Isnin lalu, memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu kepada dua cahaya mata itu.

"Saya berharap semua orang dapat terus mendoakan Nad. Doakan semuanya okay dan tiada lagi komplikasi," katanya.