Azira sambut hari lahir di hospital

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azira Shafinaz, terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran ke-28 di hospital apabila keadaan kesihatannya semakin merosot sejak empat hari lalu.

Azira berkata, beberapa tugasan seni terpaksa ditangguh apabila dia disahkan terkena jangkitan kuman pada paru-paru, selain demam panas yang menyerangnya ketika ini.

“Boleh dikatakan, setiap tahun pengalaman menyambut hari lahir adalah berbeza. Meraikannya di hospital pula adalah sesuatu yang baharu buat saya. Namun, terlupa seketika diri sedang sakit apabila rakan dan keluarga datang memberikan kejutan sempena hari jadi.

“Sebenarnya, saya kurang sihat sejak beberapa hari lalu, namun tetap menggagahkan diri demi komitmen terhadap kerja. Malah, saya turut mendapatkan suntikan kerana perlu menjalani penggambaran, Isnin lalu. Bagaimanapun, keadaan masih sama dan suhu badan saya tidak turun.

“Malah, mata juga sering berair kerana suhu badan mencecah 39.5 darjah celsius. Akhirnya saya ke hospital kerana sudah tidak tahan dengan keadaan kesihatan yang semakin merosot,” katanya kepada BH Online.

Anggota kumpulan De Fam itu mengakui keadaan kesihatannya turut memberi kesan terhadap persembahannya pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.

“Saya tidak mahu menggunakan keadaan itu sebagai alasan, namun tidak dinafikan ia turut menyumbang kepada mutu persembahan pada malam berkenaan.

“Saya mudah semput ketika menyanyi kerana batuk dan selesema berterusan, namun terus menggagahkan diri demi melunaskan tanggungjawab sebagai penyanyi.

“Menyentuh soal vokal pula, saya menerima setiap kecaman atau kritikan dilemparkan. Kami sentiasa cuba mempertingkatkan kemampuan menjadi lebih baik. Kami juga belum biasa dengan lagu Panas kerana ia baru sahaja dilancarkan, berbeza dengan single pernah dinyanyikan sebelum ini,” katanya yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara.

Azira juga berkata, tidak adil untuk orang ramai membandingkan vokal De Fam dengan Stacy kerana cara nyanyian mereka berbeza.

“Begitupun, tidak kisah orang hendak cakap apa sahaja kerana mereka mempunyai hak untuk bersuara,” katanya.

Selain Azira, De Fam yang sebelum ini meledak dengan lagu Supergirls turut dianggotai oleh Sophialiana dan Cik Manggis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Rakan & Penaja Rasmi

Akhbar
Rasmi
Penyiar
Rasmi
Penaja
Utama
Penaja
Bersama
Radio
Rasmi
Platform Digital
Rasmi
Media
Digital Rasmi
Kapsul Hiburan
Rasmi