Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Ayda, Nabil nikah 1 Januari depan

07 Nov 2020 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat serta tunangnya, pengacara, Nabil Mahir bakal bernikah pada 1 Januari depan.

Ayda dan Nabil membuat pengumuman itu melalui video berdurasi 15 minit yang dikongsi di saluran YouTube, Wuvv Show, pagi tadi.

Nabil berkata, tarikh 1 Januari dipilih bagi memudahkan mereka mengingati hari perkahwinan.

"Ayda jenis yang tidak ingat tarikh. Sebab itu untuk kahwin, Ayda pilih tarikh yang senang untuk diingat. Saya sudah beri pilihan lain, Ayda juga ada tarikh lain.

Nabil dan Ayda sepakat memilih 1 Januari depan sebagai hari melangsungkan pernikahan. Foto IG Ayda Jebat
Nabil dan Ayda sepakat memilih 1 Januari depan sebagai hari melangsungkan pernikahan. Foto IG Ayda Jebat

"Daripada itu, saya tahu, Ayda jenis yang tidak ingat tarikh istimewa termasuk ulang tahun perkenalan kami. Ini diakui sendiri Ayda," katanya.

Dalam episod pertama video itu, rakaman teman artis seperti Datuk Aznil Nawawi, Mira Filzah, Lia Natalia, Bella Daly, Elfira Loy dan Adeline Tsen meneka tarikh perkahwinan mereka, turut dipaparkan.

Nabil dan Ayda turut mengimbas detik perkenalan lalu jatuh cinta dalam video itu.

Nabil mendedahkan Ayda memulakan langkah dengan menghantar mesej di Instagram (IG) kepadanya.

"Kali pertama berjumpa, kami rakam gambar bersama. Dua bulan kemudian, kami berjumpa lagi dan berbual. Jadi, kalau hendak tahu siapa yang mengurat, Aydalah yang dahulu mengurat saya.

"Sejak itu, kami berkawan dan berkongsi banyak perkara," katanya.

Ayda berkata, selepas mesej pertama dihantar, beberapa hari kemudian, dia bertanya semula kepada Nabil, apakah pengacara itu mempunyai kekasih.

"Sebenarnya, itu kali pertama saya menghantar mesej seumpama itu kepada lelaki... Saya tidak pernah buat begitu.

"Apabila saya bertanya apakah dia ada kekasih, Nabil jawab dia masih solo. Saya tidak suka kacau kekasih orang. Jadinya, mesej itu adalah langkah pertama untuk saya berkenalan dengan dia," katanya.

Ayda dan Nabil mengikat pertunangan pada 28 April lalu.