BERITA ABPBH

Anzalna berhijab demi projek kerja?

[email protected]

KUALA LUMPUR: Enggan mempedulikan persepsi orang luar terhadap keputusannya berhijab, pelakon jelita, Anzalna Nasir, menjelaskan niat berhijrah sebab mahu memperbaiki diri dan menjadi muslimah lebih baik.

Andai ada yang meragui keikhlasannya dan menganggapnya bertudung demi mengejar 'projek', wanita berusia 34 tahun itu lebih gemar mengambil sikap tutup mata dan pekakkan telinga.

Sejak berimej baharu pada September lalu sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-33 suaminya, Hanif Zaki, Anzalna mengakui dia banyak ditawarkan menjadi duta produk jenama tudung.

"Ada antaranya jenama yang langsung saya tak kenal. Saya sangat terkejut ada banyak jenama tudung di Malaysia. Bagaimanapun, saya terpaksa menolak semua tawaran berkenaan. Bukan menolak rezeki, cuma saya belum bersedia.

"Jika ada yang menganggap saya bertudung disebabkan ingin mengejar projek, itu terpulanglah. Jujurnya, suami saya pun tidak tahu hasrat mahu bertudung. Lagipun, tiada guna saya mendengar cakap-cakap orang. Buat baik orang tetap mengata, buat jahat lebih teruk kena kecam lagi," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Loveta X Anzalna, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Mohd Nasir berkata, dia tidak mampu menolak tawaran dari jenama tudung Loveta milik Allahyarham Siti Sarah Raissuddin selepas beberapa bulan berhijab.

Katanya, pada masa sama dia turut dilamar syarikat tudung terkemuka ketika menerima tawaran Loveta.

Anzalna banyak ditawarkan menjadi duta produk tudung sejak berimej baharu pada September, tahun lalu sempena ulang tahun kelahiran suaminya. Foto IG Loveta
Anzalna banyak ditawarkan menjadi duta produk tudung sejak berimej baharu pada September, tahun lalu sempena ulang tahun kelahiran suaminya. Foto IG Loveta

Namun, katanya, atas niat membantu menyambung legasi ditinggalkan penyanyi lagu Kesetiaan itu, selain membantu ejen dan stokis menjana pendapatan, akhirnya memilih lamaran jenama tudung itu.

"Jujurnya, sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah banyak kali menghubungi saya memberitahu keinginannya mahu menjadikan saya wajah baharu jenama produk kosmetik. Namun, disebabkan saya terikat dengan produk kosmetik lain, jadi tawaran arwah terpaksa saya tolak.

"Siapa sangka keluarga yang menguruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah masih lagi berminat melamar saya sebagai duta jenama tudung selepas ketiadaannya," katanya.

Biarpun tampil berhijab, bekas peserta Dewi Remaja 2010 itu dilihat masih belum memadam gambar sebelum bertudung dalam akaun Instagram (IG) miliknya.

Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Memori Cinta Suraya dan Dendam Aurora itu menjelaskan, dia bukan sengaja berbuat demikian, sebaliknya ada sesetengah gambar tidak dipadamkan berikutan masih terikat dengan kontrak dalam tempoh tertentu.

"Perubahan hidup berlaku dalam sekelip mata, jadi saya bukan sengaja tidak mahu memadamkan gambar tidak bertudung.

"Namun, ia disebabkan ada sesetengah gambar masih terikat dengan kontrak, jadi ia perlu dikekalkan dalam tempoh tertentu.

"Sampai masanya saya akan memadamkan gambar lama. Ia bukan masalah besar buat saya untuk melakukannya.

"Bagi saya, sebaik bertudung, bukan sahaja aurat perlu dijaga, tetapi ia merangkumi semua termasuklah sikap dan tutur kata. Jadi, saya mohon peminat mendoakan saya kekal istiqamah," katanya.

Anzalna bukan sengaja enggan memadamkan gambar mendedahkan aurat dalam IG, sebaliknya, ada gambar masih terikat kontrak dalam tempoh tertentu. - Foto IG Loveta
Anzalna bukan sengaja enggan memadamkan gambar mendedahkan aurat dalam IG, sebaliknya, ada gambar masih terikat kontrak dalam tempoh tertentu. - Foto IG Loveta

Beralih kepada kerjaya seninya, Anzalna sudah lama tidak muncul di kaca televisyen (TV) sejak melahirkan anak sulung, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun.

Anzalna berkata, sehingga kini, dia tidak putus-putus dihujani tawaran lakonan, namun buat masa kini belum bersedia untuk kembali berlakon kerana mahu memberikan tumpuan anak lelaki yang masih kecil.

Tambahan pula, katanya, Mohamad Eidrees hanya mahukan dengan dirinya dan suami menyebabkan Anzalna berat hati mahu menerima sebarang tawaran lakonan.

"Insya-Allah saya akan kembali ke dunia lakonan apabila tiba masanya. Buat masa ini, saya ingin menghabiskan masa berharga dengan Mohamad Eidrees terlebih dahulu.

"Mohamad Eidrees rapat dan tidak boleh berenggang dengan saya dan suami. Jadi, timbul masanya apabila Mohamad Eidrees tidak mahu dengan orang lain.

"Biarlah saya meluangkan masa bersama permata hati saya sepuas-puasnya. Tawaran berlakon masih banyak, namun saya terpaksa menolak kerana mendahulukan keluarga.

"Saya mahu Mohamad Eidrees faham kerja ibunya sebagai pelakon. Bila sudah bersedia, saya pasti kembali beraksi dalam drama tempatan," katanya.