BERITA ABPBH

Aman buntu lama terperangkap

[email protected]

KUALA LUMPUR: Meskipun terpaksa menempuh laluan berliku memahat nama pada kedudukan selesa, situasi yang dilalui tidak memudarkan semangat penyanyi dan pelakon, Aman Aziz meneruskan cita-citanya.

Bagi Aman, 28, semua dugaan itu menjadi pembakar semangat untuknya terus berjuang memperkasakan nama sebagai anak seni. Selagi masih ada permintaan, anak kelahiran Melaka itu tidak akan sesekali meletakkan noktah kerana cintanya terhadap kerjaya seni masih mendalam.

Hampir dua tahun menyepi, naib juara Akademi Fantasia musim ke-11 yang pernah popular menerusi single Sulit itu kini tampil dengan single terbaharu berjudul Tunggu Lama.

Aman berkata, idea penghasilan lagu itu tercetus ketika terperangkap di Melaka, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

 

"Saya buntu apabila beberapa projek dibatalkan dan aktiviti kerjaya seni pula terhenti. Tanpa persediaan rapi, saya agak bergelut meneruskan hidup. Banyak perkara yang bermain di fikiran ketika itu, apatah lagi kedudukan sebagai penyanyi masih belum kukuh.

 

"Saya tertanya-tanya apakah saya dapat kembali bangkit meneruskan langkah dalam bidang ini. Ketika saya keliru dalam mencari haluan hidup, pengurus banyak memberikan input.

"Dia memberi cadangan supaya saya cuba dan belajar menghasilkan melodi. Kami banyak berbincang dalam mencari hala tuju baharu dalam kerjaya muzik saya.

"Bertitik tolak dari situ, akhirnya single Tunggu Lama direalisasikan," katanya kepada BH Online.

Memandangkan masih amatur dari sudut penciptaan lagu, Aman mendapatkan khidmat Amzar Razqa bagi mengolah dan mencantikkan lagi struktur single yang menyuntik nuansa muzik Latin dan K-Pop.

 

Selagi masih ada permintaan, Aman tidak sesekali meletakkan noktah kerana cintanya terhadap kerjaya seni masih mendalam. - Foto Aman Aziz
Selagi masih ada permintaan, Aman tidak sesekali meletakkan noktah kerana cintanya terhadap kerjaya seni masih mendalam. - Foto Aman Aziz

Aman mengakui, dia banyak belajar pelbagai perkara baharu dalam penghasilan single kelimanya itu, terutama dari sudut penghasilan melodi.

Malah, akui Aman, proses di sebalik tabir menuntut kesabaran yang sangat tinggi.

 

"Paling mencabar pastinya untuk mencari idea dalam penghasilan melodi kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan. Apatah lagi, single ini saya anggap umpama penentu masa depan saya dalam industri muzik.

"Tunjuk ajar mereka yang jauh lebih berpengalaman sangat penting. Tanpa kerjasama secara berkumpulan dan tolak ansur antara satu sama lain, sukar untuk merealisasikan penghasilan single Tunggu Lama.

"Apabila bekerja secara berpasukan, setiap kami mempunyai cara dan pandangan yang berbeza. Di sini pentingnya untuk mencari titik persamaan supaya lagu yang dihasilkan memberi kepuasan kepada semua yang terbabit," katanya.

Single Tunggu Lama dipendengarkan di platform Joox sejak 18 Oktober lalu adalah cetusan idea bersama Aman, Amsyar, Saballa dan Acu Panakorn, manakala lirik pula sentuhan bersama Amzar dan Amsyar, Acu dan Aman.

Bercerita penghasilan melodi Tunggu Lama, Aman berkata, dia banyak membuat rujukan dengan mendengar lagu nyanyian idol dan penyanyi solo dari Korea Selatan seperti Chen daripada EXO, kumpulan NCT serta mendengar OST K-drama popular.

 

"Dari situ, saya cuba menghasilkan melodi untuk disesuaikan dengan pasaran muzik di negara ini.

"Saya turut mendengar lagu tempatan yang mendapat tempat di hati peminat, terutama remaja.

"Lagu ini juga banyak menceritakan pengalaman saya sendiri, terutama cabaran bertahan dalam industri muzik ketika dunia masih bertarung dengan pandemik. Cuma, liriknya diubah sedikit kepada tema cinta untuk mendekati peminat muda," katanya.

Aman berkata, single Tunggu Lama memberinya semangat baharu untuk terus bangkit mengejar cita-cita, selagi bakatnya masih diterima.

"Saya bertekad bangkit dan teruskan perjuangan didorong oleh keinginan serta keyakinan bahawa jika kita berusaha, pasti akan ada sinarnya pada kemudian hari.

 

"Dalam hal ini, saya berterima kasih kerana mereka yang terdekat yang sentiasa percaya saya mampu melakukannya dan tidak jemu memberikan dorongan untuk melihat saya berjaya," katanya.