Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 36
Undi artis pilihan anda dalam kategori UTAMA dan EKSTRA PALING POPULAR! pada ABPBH 36
KUALA LUMPUR: Meskipun cuba bersikap positif, namun, penyanyi Aina Abdul terkesan apabila harga tiket konsert A Night With Aina Abdul, bulan depan terus menjadi bahan pertikaian netizen.
Lebih membuatkan penyanyi lagu Sumpah ini kecewa apabila netizen mengaitkan isu harga tiket mahal dengan perkara lain yang disifatkan memperlekehkan kredibilitinya.
"Antara cabaran terpaksa dihadapi adalah kemarahan netizen mempertikaikan harga tiket konsert yang dianggap mahal.
"Malah, netizen turut membandingkan harga tiket dengan tempoh pembabitan saya dalam bidang seni, membandingkan saya dengan figura yang juga menjadi idola saya.
"Walaupun enggan mengambil peduli pendapat nerizen, namun, tak dinafikan komen negatif 'makan diri' dan memberi kesan kepada mental saya," katanya kepada BH Online.
Enggan menyerah kalah, pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 ini mahu membuktikan segala tanggapan negatif terhadapnya adalah salah dengan memberikan persembahan terbaik serta mampu memberi kepuasan maksimum kepada penonton.
"Saya bukanlah nak cakap besar, namun, saya percaya dengan nilai tiket dibayar penonton akan dapat menyaksikan persembahan terbaik daripada saya.
"Jika selama ini penonton hanya menyaksikan persembahan saya pada malam kemuncak AJL, kali ini mereka akan dapat lebih daripada itu.
"Bukan usia ataupun tempoh masa menjadi ukuran, tetapi, bagaimana cara kita mempersembahkan konsert," ujar pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani ini pada sidang media konsert A Night With Aina Abdul yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Antara keistimewaan bakal disajikan penyanyi bervokal mantap ini adalah membariskan 30 pemuzik hebat termasuk pengarah muzik tersohor, Mac Chew, susunan muzik lebih segar dan sistem bunyi berkualiti.
Walaupun mendapat kritikan, namun, penyanyi yang sering tampil dengan gaya esentrik ini meluahkan rasa syukur kerana tiket konsert yang berlangsung selama dua malam pada 25 dan 26 Jun di Panggung Sari, Istana Budaya sudah terjual lebih 85 peratus.
Terdahulu, isu harga tiket mahal timbul apabila netizen mempersoalkan harga tiket konsert Aina yang mencecah RM1,199.