Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Aiman Tino baru ada FC rasmi

11 Oct 2019 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun mencipta nama dengan klip video ditonton lebih 50 juta kali, barulah penyanyi Aiman Tino mempunyai kelab peminat rasmi digelar Aiman Tino Fantastic (ATF).

Diasaskan ketika undian pusingan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bermula, Julai lalu, ATF menjadi platform untuk penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu bertemu dan melakukan aktiviti bersama peminat.

Mengaku bukan suatu isu besar apabila kelab peminat atau FC ditubuhkan selepas tiga tahun bertapak, Aiman teruja dengan sokongan peminat biarpun gagal bolos calon Top 5 ABPBH 32.

“Apabila ada FC rasmi, saya nampak lebih jelas sokongan peminat terhadap karier seni saya. Misalnya, biarpun gagal jadi finalis ABPBH 32, saya rasa puas kerana tahu disayangi peminat.

AIMAN Tino. - Foto Ihsan Aiman Tino
AIMAN Tino. - Foto Ihsan Aiman Tino

AIMAN Tino bersama kelab peminatnya, Aiman Tino Fantastic. - Foto Ihsan Aiman Tino
AIMAN Tino bersama kelab peminatnya, Aiman Tino Fantastic. - Foto Ihsan Aiman Tino

“Merekalah yang menjadi petunjuk dan perangsang kepada saya untuk terus memberi yang terbaik,” katanya kepada BH Online.

Aiman berkata, ATF buat kali pertama menganjurkan hari keluarga membabitkan 50 ahli bertuah di Bagan Lalang, Selangor, akhir bulan lalu.

“Aktiviti itu sangat bermakna kerana merapatkan hubungan dengan peminat. Ada yang sanggup datang dari jauh seperti Kelantan dan Johor untuk bertemu saya.

Terima kasih kepada semua pihak yang mengendalikan acara itu. Insya-Allah, ini bukan program akhir. Saya akan anjurkan lebih banyak aktiviti seumpama itu pada masa depan,” katanya sambil menambah sukaneka, tarian dan nyanyian mengisi acara pada hari keluarga itu.

Sementara itu, Aiman yang aktif melakukan kerja amal, sedang dalam proses menyiapkan single baharu.

“Saya bakal melakukan penggambaran video muzik single terbabit. Insya-Allah, pertengahan bulan hadapan, saya akan lancarkan album mini memuatkan lagu lama dan dua trek baharu.

“Istimewanya, peminat akan memiliki dua keping cakera padat (CD) iaitu koleksi lagu dan karaoke,” katanya.