BERITA ABPBH

Afrah simpan kenangan indah bersama papa

[email protected]

KUALA LUMPUR: Menarik perhatian ramai melalui kisah pertemuan pada hujung usia penyanyi dan pelakon popular era 1980-an, Allahyarham Aman Shah, 68, Afrah Athasha, 24, tidak pernah kesal kembali rapat dengan insan dipanggil papa selepas lama terpisah, biarpun seketika.

Hanya sempat melepas rindu kira-kira enam bulan, Afrah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup arwah bersama vokalis kumpulan duo, The Queens dari Singapura, Farah Diba Abdul Aziz, tetap berpuas hati.

Afrah gembira kerana banyak kenangan manis sempat diukir sebelum bapanya menutup mata buat selama-lamanya pada 14 September lalu akibat komplikasi jantung.

Biarpun tiada kenangan bersama papa ketika kecil berikutan ibu bapa berpisah ketika usia Afrah menginjak tiga tahun, namun, gadis ini mahu melenyapkan kisah silam.

"Tidak, saya tidak kesal, sebaliknya, amat bersyukur kerana beberapa bulan sebelum papa pergi, banyak perkara indah sempat kami lakukan bersama.

"Antaranya papa sempat menyaksikan hari cukup bermakna dalam hidup saya iaitu majlis pertunangan, awal bulan ini.

"Walaupun hanya mengenali papa selepas menginjak dewasa, saya bersyukur kerana papa pergi dalam keadaan hubungan kami yang baik.

"Jadi, saya tidak terkilan kerana semua orang boleh nampak betapa gembiranya papa melalui foto yang sempat dirakam pada majlis indah saya tempoh hari," katanya kepada BH Online.

Pada 14 September lalu, Allahyarham Aman Shah menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 2.20 petang.

Jenazah Allahyarham Aman Shah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras, pada sebelah malamnya.

Kesungguhan arwah memandu dari Kuala Lumpur untuk bertemu dia dan abang, April lalu, untuk diperkenalkan dengan tunangannya, cukup dihargai Afrah dan dikenang sampai bila-bila.

Ditanya adakah arwah pernah berusaha menjejakinya ketika kecil, Afrah yang juga penyanyi dan komposer yang sedang mencipta nama di Singapura, bagaimanapun kurang pasti mengenainya.

Kenangan terakhir arwah Aman Shah bersama bekas isteri, Farah Diba dan tiga cahaya mata, Afrah, Hyqel Helmy dan Imran Abdul Haqiim pada majlis pertunangan Afrah di Singapura pada 3 September lalu. - Foto Ihsan Berita Harian Singapura
Kenangan terakhir arwah Aman Shah bersama bekas isteri, Farah Diba dan tiga cahaya mata, Afrah, Hyqel Helmy dan Imran Abdul Haqiim pada majlis pertunangan Afrah di Singapura pada 3 September lalu. - Foto Ihsan Berita Harian Singapura

Afrah yang menggunakan nama pentas Zalelo enggan menumpang populariti arwah, bagaimanapun dapat melihat kesungguhan bapa mendekati dirinya dan dua abang, sebelum meninggal dunia.

"Saya reda dengan apa yang berlaku. Tetapi saya lebih suka fokus kepada benda baik.

"Saya gembira sempat mengenali papa untuk beberapa bulan ini. Saya sangat hargai kehadiran papa pada majlis pertunangan pada 3 September lalu.

"Biarpun papa ketika itu, tidak sihat, namun, papa sanggup minta pelepasan daripada hospital semata-mata menghadiri majlis saya.

"Jadi, macam manalah saya hendak menaruh dendam pada papa sedangkan arwah bersungguh-sungguh mengambil inisiatif untuk mendekati kami adik-beradik.

"Bagi saya, apa yang papa lakukan itu ibarat 'action louder than words' (perbuatan lebih baik daripada kata-kata).

"Papa seolah-olah cuba menebus kembali masa-masa silam yang tidak sempat kami kecapi bersama," katanya.

Afrah berterima kasih kepada bapa saudara di sebelah bapa, iaitu Datuk Naseer Abu Kassim serta ibu saudaranya di sebelah ibu, yang berusaha merapatkan kembali hubungan mereka.

Biarpun kekok pada awal pertemuan, namun, lama-kelamaan mereka semakin mesra, apatah lagi memiliki banyak persamaan.

"Mula-mula memang kekok, tak tahu apa yang ingin dibualkan. Tapi lama-kelamaan, kami jadi bertambah mesra.

"Kami ada banyak persamaan, saya suka menyanyi dan berlakon, samalah seperti papa.

"Saya suka asam pedas dan lauk sotong, papa juga sama. Disebabkan papa tahu saya suka makanan laut, papa bawa kami menikmati makan malam di Senibong," katanya.

Afrah memuat naik gambar kenangan majlis perkahwinan arwah bapa bersama ibunya pada 1982. - Foto IG Afrah Athasha
Afrah memuat naik gambar kenangan majlis perkahwinan arwah bapa bersama ibunya pada 1982. - Foto IG Afrah Athasha

Selain itu, kata Afrah, dia dan arwah masing-masing mempunyai tahi lalat di atas bibir.

"Jadi, macam manalah saya tidak sayang kepada papa? Saya bersyukur kerana pengakhiran hidup papa ditamatkan dengan hubungan baik bersama anak-anak" katanya.

Mengenai perpisahan bapa dan ibunya, Afrah mengaku tidak mencampuri urusan orang tuanya.

Afrah berkata, arwah papa adalah cinta pertama ibunya.

Namun, Afrah menyangkal ibunya enggan berkahwin lagi kerana masih mencintai arwah.

"Saya tidak pasti kenapa ibu tidak berkahwin lagi. Ibu tidak berkahwin bukan sebab masih cintakan papa... Tidak.

"Sebaliknya, mungkin sebab tiada jodoh. Jika ibu ditakdirkan berjodoh semula, saya tumpang gembira," katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya seni Afrah berkata, dia dan arwah bapa merancang merakamkan semula lagu raya popular Kepulangan Yang Dinanti.

Namun, disebabkan insan tersayang sudah pergi menghadap Ilahi, hasrat itu terpaksa ditangguhkan.

Apatah lagi, prosedurnya bukanlah mudah kerana Afrah perlu berurusan dengan banyak pihak.

Ketika ini, Afrah mahu memberi fokus kepada muziknya. Memilih genre R&B dan hip hop, Afrah mengaku merancang suatu kejutan.

Selain Afrah, perkahwinan Aman Shah dan Farah Diba turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Hyqel Helmy Aman Shah, 33, dan Imran Abdul Haqiim Aman Shah, 32.

Sudah menyiapkan empat lagu, Afrah bakal muncul dalam program televisyen (TV) di Malaysia, namun, enggan berkongsi lanjut mengenainya.