BERITA ABPBH

Aedy bertahan walau tak genggam anugerah

[email protected]

KUALA LUMPUR: Selama lebih dua dekad bergelar anak seni, namun, rezeki belum berpihak kepada pelakon Aedy Ashraf, 28, merangkul sebarang trofi popular mahupun terbaik.

Tidak sedikitpun rasa terkilan, sebaliknya, bintang yang pernah mencipta nama menerusi filem Tentang Bulan itu bersyukur masih mampu bertahan hingga hari ini.

Mula melangkah sebagai pelakon pada usia 10 tahun, Aedy berkata, dia hanya memikirkan strategi bagaimana dapat terus bertahan berbanding sibuk mengejar trofi sejak dahulu lagi.

Aedy atau nama sebenarnya, Mohd Zaedy Ashraf Rosmadi berkata, penghargaan boleh datang dalam pelbagai bentuk, bukan diukur daripada trofi semata-mata.

Kini tular menerusi drama Kisah Cinta Kita di sisi pelakon Amelia Henderson, Aedy bagaimanapun berbangga mampu bertahan sehingga kini.

"Saya memang tak pernah genggam apa-apa trofi sepanjang selama 21 tahun bergelar pelakon. Namun, nama pernah juga dicalonkan dalam beberapa kategori anugerah.

"Jujurnya, saya tidak pernah mengimpikan dapat anugerah. Saya bekerja dengan ikhlas, malah saya berbangga masih mampu bertahan biarpun tak genggam trofi.

"Saya mahu bertahan dalam industri seni selama yang mungkin. Lagipun, anugerah boleh datang dalam pelbagai cara.

"Bukan bermakna berjaya membawa pulang trofi barulah kita dihargai. Sebenarnya, banyak lagi cara yang boleh membuatkan saya rasa dihargai," katanya kepada BH Online.

Aedy senang bekerjasama, malah, tidak sukar mencari keserasian dengan Amelia.
Aedy senang bekerjasama, malah, tidak sukar mencari keserasian dengan Amelia.

Aedy ditemui pada sidang media drama Kisah Cinta Kita secara virtual, baru-baru ini.

Drama 28 episod itu mula menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di TV3 sejak 26 November lalu.

Kali pertama bergandingan bersama Amelia, Aedy berkata, dia tidak mempunyai masalah mencipta keserasian bersama pelakon jelita itu.

"Bagi saya, Amelia adalah pelakon yang berbakat. Saya senang bekerja dengannya, tidak sukar mencari keserasian walaupun kali pertama digandingkan.

"Cuma mencabarnya apabila saya terpaksa mencari semula karakter sebagai Amer memandangkan penggambaran terpaksa ditangguhkan beberapa bulan akibat pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Pernah membintangi pelbagai drama trending termasuklah Budak Tebing, Waktu Rehat dan Cinta Tiada Ganti, Aedy berkata, masih banyak watak yang belum diterokai biarpun sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan.

"Saya teringin mahu berlakon dalam filem autobiografi sebagai legenda seperti Tun Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak.

"Sebagai pelakon, untuk membawakan watak yang direka bukan sesuatu yang mudah, tetapi untuk melakonkan watak ikonik lebih sukar lagi," katanya.