BERITA ABPBH

'Adira tak harap duit suami'

[email protected]

KUALA LUMPUR: Meskipun memiliki suami yang mampu menanggung kehidupannya, penyanyi Adira Suhaimi lebih selesa berdikari dan mencari pendapatan sendiri.

Adira membina kerjaya dalam bidang nyanyian pada berusia 19 tahun selepas diangkat naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada 2010 itu berkata, dia lebih gembira apabila memiliki pendapatan sendiri.

Kini, boleh dikatakan kira-kira 80 peratus pendapatannya hilang akibat penularan pandemik COVID-19, namun, ibu kepada tiga anak itu kini giat mengusahakan perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Dari kecil saya diajar untuk mencari duit sendiri. Walaupun ada suami, saya kena ada perancangan, sekurang-kurangnya tidak terlalu mengharapkan suami. Kita kena ingat ada masa suami senang dan susah.

"Jadi, saya tidak mahu menyusahkan suami, jadi biarlah saya bekerja. Saya anggap lebih senang apabila saya memiliki duit sendiri boleh juga dikongsi pada keluarga, adik beradik dan mereka yang memerlukan.

"Saya suka membeli apa sahaja yang dimahukan dengan duit sendiri. Saya juga mempunyai perancangan masa depan untuk anak-anak.

"Saya pun tidak tahu umur panjang atau sebaliknya, jadi adalah sikit peninggalan untuk anak-anak," katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Ombak Rindu dan Takdir Tercipta itu berkata, dia tergerak hati membuka perniagaan bagi membantu orang lain yang susah dan bergelut.

"Saya pernah berdepan dengan kesusahan hidup, saya tahu bagaimana rasa peritnya apabila bergelut dengan bebanan kewangan.

"Niat saya membuka perniagaan bagi membantu orang lain yang ada masalah kewangan. Sekarang saya masih mencari apa yang boleh saya lakukan untuk bantu orang lain dengan platform yang ada," katanya.

Adira bersama tiga cahaya matanya, Anggrek, Asan, dan Anggun. - Foto IG Adira Suhaimi
Adira bersama tiga cahaya matanya, Anggrek, Asan, dan Anggun. - Foto IG Adira Suhaimi

Selepas lebih empat bulan melancarkan produk makanan tambahan, Soo Puteh, Adira berkata, dia kini mahu lebih serius untuk mengembangkan perniagaannya.

"Alhamdulillah, saya lebih terbuka hati untuk serius di dalam bidang perniagaan sejak pandemik COVID-19. Saya tidak sangka sambutan sangat memberangsangkan dalam tempoh empat bulan.

"Bermula 5,000 kotak, kini saya menambah sebanyak 10,000 kotak lagi. Ini adalah permulaan baik buat saya.

"Insya-Allah saya akan terus berniaga. Saya perlu berniaga sebab tidak tahu bila pandemik akan berakhir. Jadi, saya kena ada perancangan awal.

"Ini bukan artis sahaja, tetapi untuk sesiapa pun yang mula menceburi bidang perniagaan," katanya.

Penyanyi kelahiran Ranau, Sabah itu berkata, itu bukan bermakna akan memperlahankan kerjaya nyanyian, sebaliknya cuba menyeimbangkan kedua-dua bidang.

"Menyanyi masih keutamaan, selain anak-anak dan perniagaan. Sebab saya tidak mahu kecewakan peminat dan syarikat pengurusan, Nova Music," katanya.

Penyanyi lagu Pujaan Hati itu mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Anggrek, 4, Asan, 3, dan Anggun, 2.