Undi selebriti pilihan Artis ABPBH 35

Undi selebriti pilihan anda mengikut kategori ABPBH yang telah dipertandingkan pada tahun ini

BERITA ABPBH

Adam Lee perbaiki diri sepanjang PKP

22 Jun 2020 | Zaidi Mohamad

KUALA LUMPUR: Banyak sungguh manfaat diperoleh pelakon Adam Lee sejak 'berkurung' di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, Mac lalu.

Paling mengujakan, Adam yang meraih trofi Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 dapat menunaikan puasa bulan Syaaban dan Ramadan bersama ibu bapa.

Ternyata, Adam memanfaatkan masa terluang untuk bersama keluarga dan mendekatkan diri dengan Tuhan.

"Sebelum PKP, saya sibuk dengan kerja seni. Jadi, apabila PKP bermula, saya gunakan kesempatan itu untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dan memperbaiki kekurangan diri.

"Pengalaman berpuasa pada bulan Syaaban dan Ramadan bersama ibu dan ayah tidak saya lupakan," katanya kepada BH Online.

Tidak ketinggalan, Adam memanfaatkan masa dengan bersenam dan menjaga kesihatan.

Adam menjelaskan hubungan cintanya dengan Sweet Qismina baik-baik sahaja. Foto IG Adam Lee
Adam menjelaskan hubungan cintanya dengan Sweet Qismina baik-baik sahaja. Foto IG Adam Lee

Berkongsi perkembangan terbaru, Adam yang juga kekasih pelakon, Sweet Qismina, sudah kembali ke lokasi penggambaran drama 26 episod, Kanvas untuk siaran TV Okey, sejak Sabtu lalu.

"Saya berganding dengan Ruhainies dalam drama ini. Penggambaran disiapkan separuh sebelum PKP dikuat kuasakan. Jadi tinggal 50 peratus yang perlu disiapkan," katanya.

Mengenai hubungannya dengan Sweet, Adam mengaku semuanya baik-baik sahaja.

"Alhamdulillah... Semua okay," katanya.