BERITA ABPBH

ABPBH 34: Sissy rasa bermimpi

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kali pertama bolos calon Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Sissy Imann mengaku tidak sangka mampu mencapai tahap itu, apatah lagi diletakkan dalam kelompok 10 artis mendapat undian tertinggi pada pusingan pertama acara anugerah ini.

Mara dalam dua kategori iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular, pengacara program realiti, Idola Kecil Di Rumah dan Muzik Muzik 36 ini bagai tidak percaya apa yang berlaku.

Sissy atau nama penuh, Sissy Imann Mohammad Kamil mengaku rasa seperti bermimpi, namun, menganggap undian peminat sebagai suatu penghormatan buat dirinya.

"Kebetulan, ketika senarai top 5 ABPBH 34 diumumkan, Ahad lalu, saya terikat dengan kerja pengacaraan Muzik Muzik 36 dan Idola Kecil Di Rumah.

"Saya diundang menyertai temuramah virtual dengan media atas kapasiti sebagai hos karpet merah bersama Izzue Islam pada ABPBH 34.

"Ketika sesi virtual itu, ada teman wartawan melayangkan WhatsApp mengucapkan tahniah dan memaklumkan saya bolos Top 5 untuk dua kategori.

Sissy tidak sangka peminat memberi sokongan padu hingga dirinya muncul dalam kalangan 10 artis meraih undian tertinggi pada pusingan awal ABPBH 34. Foto IG Sissy Imann
Sissy tidak sangka peminat memberi sokongan padu hingga dirinya muncul dalam kalangan 10 artis meraih undian tertinggi pada pusingan awal ABPBH 34. Foto IG Sissy Imann

"Ketika itu, saya sedikit 'blur'... Rasa macam mimpi saat diberitahu berita itu," katanya kepada BH Online.

Tambah penyanyi lagu Pesanan Ayahanda itu, melihat saingan dalam dua kategori terbabit, diri terasa kerdil.

"Tengoklah senarai calon yang bertanding dalam dua kategori itu. Jelas masing-masing diketahui ramai dengan kualiti kerja dan bakat mereka.

"Bagaimanapun, ini suatu penghormatan untuk saya dan kerjaya seni. Apatah lagi dimaklumkan saya menjadi antara 10 artis yang mendapat undian tertinggi. Jujur, saya tidak sangka.

"Namun, saya lihat semua ini sebagai tanggungjawab dan kepercayaan. Apabila orang undi dan menyokong, tanggungjawab kita jadi lebih berat.

"Sampai ke tahap ini, saya bersyukur kerana penyokong dan kelab peminat, Cynta Hati Sissy Imann Official tidak jemu mengundi dan menyokong," katanya.

Menyingkap penganjuran ABPBH 33, tahun lalu, Sissy tular berikutan penampilan ketika mengendalikan segmen karpet merah bersama Sean Lee, dikecam hebat.

Fesyen yang disindir 'Rihanna tak jadi' yang diilhamkan bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, dipersenda kerana dianggap pelik, serabut dan tidak sesuai.

"Tidak dinafikan, komen itu mengajar saya jadi lebih kuat dan berhati-hati. Perkara sudah jadi dan berlalu, saya reda. Tahun ini, sekali lagi, saya diberi mandat sama.

"Insya-Allah, saya jamin, perkara itu tidak akan berulang berulang. Pengalaman mematangkan diri," katanya.