BERITA ABPBH

6 penyanyi buai emosi Konsert Patah Hati

[email protected]

KUALA LUMPUR: Konsert Patah Hati tampil berbeza apabila mengetengahkan enam penyanyi popular, Ernie Zakti, Nastia, Insomniacks, Aisha Retno, Noh Salleh dan Naim Daniel berkongsi pentas.

Dianjurkan oleh ANS Diversified Sdn Bhd, Konsert Patah Hati selama tiga jam bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Mac depan dengan menampilkan lagu-lagu cinta dan melankolik.

Pengarah projek, Ahmad Faizal Zulkipli, berkata konsert itu istimewa buat peminat yang menggemari lagu menjentik emosi.

"Bersesuaian dengan nama Konsert Patah Hati, ia sudah tentu menampilkan lagu-lagu cinta pelbagai genre yang menyentuh perasaan.

"Bukan sahaja lagu popular masa kini, kami juga menampilkan lagu cinta popular sepanjang zaman dalam versi baharu dan segar.

"Apa yang dapat dikatakan, konsert bergenre seumpama ini belum pernah ditampilkan dalam mana-mana konsert dan menjanjikan kepuasan kepada penggemar karya malar segar.

"Barisan penyanyi membabitkan kombinasi solo dan berkumpulan yang mempunyai jutaan pengikut di Malaysia, Singapura dan Brunei," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media Konsert Patah Hati, baru-baru ini.

Mengulas pemilihan 'patah hati' sebagai nama konsert, Ahmad Faizal berkata, patah hati bukan hanya membabitkan hubungan cinta antara sepasang kekasih, malah boleh dikaitkan pelbagai situasi kehidupan.

"Mungkin orang anggap konsert ini hanya akan menampilkan lagu putus cinta. Tetapi, patah hati bukan membabitkan putus cinta sahaja, boleh juga dikaitkan dengan situasi kehidupan seperti kehilangan insan tersayang, kerjaya, perniagaan dan banyak lagi.

"Sebab itulah, kami bukan sahaja menyasarkan penonton yang pernah berdepan putus cinta. Sasaran kami pelbagai kelompok dan generasi peminat," katanya.

Insomniacks dianggotai tiga anak muda, Iqie, Iskandar dan Danial menjadi pilihan berikutan single Pulang menjadi juara carta lagu domestik paling banyak distrim pada 2019. - NSTP/Aziah Azmee
Insomniacks dianggotai tiga anak muda, Iqie, Iskandar dan Danial menjadi pilihan berikutan single Pulang menjadi juara carta lagu domestik paling banyak distrim pada 2019. - NSTP/Aziah Azmee

Tambah Ahmad Faizal, penyatuan enam artis satu pentas juga berikutan kurang yakin menampilkan seorang penyanyi memandangkan masih baru dalam bidang penganjuran konsert.

"Jujurnya, kami tiada keyakinan untuk mengetengahkan seorang penyanyi, jadi kami jual konsep patah hati untuk tarikan.

"Disebabkan kurang pengalaman dan masih baru, kami membawakan enam artis satu panggung. Kami bersyukur ramai rakan industri membantu menjayakan konsert ini," katanya.

Ahmad Faizal berkata, sekiranya konsert mendapat sambutan baik kemungkinan bakal mengadakan konsert tahunan kerana percaya lagu-lagu patah hati dekat dengan masyarakat.

Katanya, setiap artis akan diiringi tujuh pemuzik profesional dan dua penyanyi latar di bawah pimpinan pengarah muzik, Shahakam Mokhtar.

la akan diperindahkan dengan mainan audio visual dan teknik pencahayaan menarik.

"Saya yakin enam penyanyi yang terbabit dengan Konsert Patah Hati tiada masalah untuk beraksi secara langsung kerana mereka mempunyai pengalaman luas.

"Ernie, Noh dan Naim pernah beraksi dalam banyak konsert dan acara besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM).

"Aisha sangat kreatif dan bertenaga apabila di pentas dan baru saja melancarkan single baharu, I Love Sadness More.

"Insomniacks dianggotai tiga anak muda, Iqie, Iskandar dan Danial pula hebat dengan single Pulang yang menjadi juara carta lagu domestik paling banyak distrim pada 2019.

"Begitu juga Nastia yang sangat diminati menerusi lagu Rapuh dan berpengalaman beraksi secara langsung," katanya.

Sehubungan itu, tiket Konsert Patah Hati boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.com.my.