BERITA ABPBH

35 tahun menanti konsert solo diiringi orkestra

[email protected]

KUALA LUMPUR: Menjelang penganjuran konsert solo, Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), penyanyi bersuara lunak merdu, Datuk Aishah berharap diberikan kesihatan baik agar konsert berjalan lancar dengan sempurna, malam esok.

Menerusi perkongsian dibuat menerusi Instagram (IG), penyanyi Janji Manismu itu berkata, dia sudah membuat persiapan yang terbaik demi kepuasan penonton.

"Minggu ini, jadual saya penuh dengan latihan. Doakan saya diberi kesihatan dan fokus yang baik.

"Selama 35 tahun saya menunggu untuk tampil dengan konsert solo bersama orkestra berprestij. Saya anggap ia adalah mimpi menjadi kenyataan.

"Harapan saya moga persiapan dibuat mencukupi untuk memberikan persembahan terbaik kepada penonton," tulisnya.

Aishah sibuk menjalani latihan bersama konduktor, Ahmad Muriz. - Foto Ihsan DFP
Aishah sibuk menjalani latihan bersama konduktor, Ahmad Muriz. - Foto Ihsan DFP

Aishah atau nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin, 57, berkata, dia mahu konsert solo itu menjadi momen paling manis buat peminat sambil mengenang nostalgia lalu.

"Kepada yang sudah membeli tiket, jom gegarkan DFP dan jadikan malam kita bersama. Saya mahu penonton mengimbas nostalgia lagu-lagu yang bakal dipersembahkan.

"Janganlah terlalu berkeras dan kritikal terhadap segala aspek teknikal serta vokal. Saya bukan penyanyi yang bagus dari segi teknik, tetapi saya menyanyi dari hati," luahnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang memulakan kerjaya nyanyian bersama kumpulan Fan Club dari New Zealand itu turut mengingatkan penonton agar tidak terus menjatuhkan hukum sekiranya persembahannya tidak memuaskan hati.

Aishah mahu konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous menjadi momen paling manis buat peminatnya sambil mengimbau nostalgia silam. - Foto Ihsan DFP
Aishah mahu konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous menjadi momen paling manis buat peminatnya sambil mengimbau nostalgia silam. - Foto Ihsan DFP

"Jangan terlalu cepat nak kutuk seseorang penyanyi. Banyak faktor memberi kesan atas persembahan iaitu kesihatan, emosi, isu teknikal dan kita juga bukanlah manusia sempurna.

"Jadi bertenang, jangan asyik nak hentam sahaja," ungkap pemenang pertama Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 1990 menerusi perkongsian berbentuk video ketika sedang menjalani latihan.

Persembahan Aishah akan dipimpin oleh konduktor, Ahmad Muriz Che Rose. Antara lagu yang bakal didendangkan termasuklah Janji Manismu, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Seloka Rindu, Fatwa Pujangga dan Camar Yang Pulang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous boleh layari laman web DFP di www.dfp.com.my.