BERITA ABPBH

2PAI sindir siapa?

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tidak bermaksud menyindir sesiapa, sebaliknya penyanyi hip hop yang semakin mencipta nama, Asyraf Nasir menghasilkan single 2PAI sekadar peringatan.

Single 2PAI diinspirasikan oleh peribahasa 'setinggi-tinggi tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga' dicipta dan ditulis oleh Asyraf sendiri, berkisar sifat manusia yang boleh menjadi angkuh apabila memperoleh segala-galanya.

"Saya sengaja mengambil ilham peribahasa Melayu, sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Malah, judul 2PAI juga merujuk kepada tupai seperti digambarkan dalam peribahasa berkenaan.

"2PAI mengetengahkan sifat manusia yang mudah lupa dan menjadi angkuh apabila kesenangan di hadapan mata. Malah, ada yang sanggup melakukan apa sahaja hingga mengetepikan isu moral dan kebaikan.

"Jadi, karya ini menjadi peringatan kepada saya, rezeki atau apa sahaja yang dimiliki boleh ditarik semula," katanya kepada BH Online.

Asyraf yang diperkenalkan menerusi pertandingan mencari bakat hip hop anjuran sebuah stesen radio berkata, 2PAI umpama memberi isyarat jangan sesekali lupa titik permulaan dan asal usul.

"Saya percaya tiada siapa mampu memperoleh kejayaan sepenuhnya tanpa bantuan orang sekeliling.

"Namun, ada yang sanggup mengenepikan cara betul hingga sanggup main kotor demi memenuhi keinginan," katanya.

Asyraf memperkatakan sifat manusia yang mudah lupa dan menjadi angkuh apabila kesenangan di hadapan mata menerusi single 2PAI.
Asyraf memperkatakan sifat manusia yang mudah lupa dan menjadi angkuh apabila kesenangan di hadapan mata menerusi single 2PAI.

Asyraf berkata, rakaman vokal kali pertama yang dilakukan di rumah menjadi pilihan untuk dikomersialkan.

"Saya memang berhajat nak rakam suara dalam studio. Namun, disebabkan kekangan pandemik COVID, malah, rakaman suara kali ketiga dan keempat di rumah tidak sebaik pertama.

"Jadi, akhirnya saya memutuskan menggunakan rakaman suara pertama di rumah digunakan. Wolfy bertindak sebagai penerbit dan proses rakaman dibuat secara virtual.

"Saya mengambil masa dua hari menghasilkan lirik lagu ini. Secara keseluruhan, single 2PAI mengambil masa hampir sebulan disiapkan, tahun lalu.

"Saya sekali lagi menggunakan khidmat pengarah, Thaqif Saadon yang pernah bekerjasama dengan saya menerusi video muzik Tak Sangka untuk video muzik 2PAI," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Keliru ini mengakui, masih bergelut menjual bakatnya.

"Barangkali ramai yang belum faham pendirian saya. Genre hip hop selalu dilihat berunsur tipikal yang nampak ganas. Namun, saya hadir dengan 'attitude' berbeza termasuk cara berpakaian dan muzik.

"Saya percaya ada pendengar tidak tahu apa yang disukai atau sebaliknya sehingga diperdengarkan sesebuah karya baharu.

"Namun, saya juga masih hijau, baru masuk tahun kedua. Moga ia bukan menjadi tahun terakhir saya. Mungkin selepas lima atau 10 tahun baru orang kenal saya," katanya.

Single 2PAI sudah berada di semua platform digital sejak 26 November lalu, manakala video muzik boleh ditonton menerusi saluran YouTube Asyraf Nasir VEVO.