BERITA ABPBH

13 hari kutip RM51.8 juta

[email protected]

KUALA LUMPUR: Filem epik Melayu yang mencetuskan fenomena, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof memperoleh kutipan RM51.8 juta dalam tempoh 13 hari tayangan di pawagam.

Ia disahkan oleh penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali.

"Sehingga semalam, jumlah kutipan filem Mat Kilau sudah mencecah RM51.8 juta.

"Saya nak ambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan menonton filem yang mengetengahkan pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau Iman Rasu ini.

"Paling mengujakan, pelbagai lapisan masyarakat datang menonton. Ini termasuklah makcik dan pakcik, ada antaranya bertongkat serta berkerusi roda.

"Ia sekali gus menyuntik semangat untuk menghasilkan filem bergenre epik dan ikonik pada masa hadapan.

"Saya amat menghargai sokongan, termasuk rakan media," katanya kepada BH Online.

Abdul Rahman memaklumkan, sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Studio Kembara.

"Jadi, kami tidak akan bertanggungjawab jumlah kutipan dikongsi daripada sumber lain," katanya.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mencantas rekod kutipan filem Munafik 2 juga karya sentuhan Syamsul pada 2018.
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mencantas rekod kutipan filem Munafik 2 juga karya sentuhan Syamsul pada 2018.

Katanya, filem Mat Kilau akan terus ditayangkan pada minggu ketiga.

"Saya ingin memaklumkan tayangan filem ini akan diteruskan di semua pawagam terpilih di Malaysia, Brunei dan Singapura" katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia tidak menyangka kutipan filem Mat Kilau mencantas rekod filemnya terdahulu, Munafik 2 pada 2018.

"Kesusahan dan kesukaran menyiapkan filem Mat Kilau berbayar apabila menerima fenomena luar biasa dengan kutipan yang mengejutkan," katanya.

Syamsul berkata, dia sukar menebak sejauh mana kutipan filem Mat Kilau boleh pergi.

"Paling maksimum, kutipan boleh pergi hingga RM60 juta. Biarpun ada yang berpendapat, mungkin kutipan lebih tinggi akan diperoleh," kata Syamsul.

Diterbitkan Studio Kembara, kos pembikinan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berdasarkan fakta sejarah membabit bajet RM8 juta.

Naskhah yang sarat dengan elemen cintakan agama, bangsa dan tanah air itu dibintangi pelakon, Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Wan Hanafi Su, Johan As'ari, Yayan Ruhian dan ramai lagi.