Siti Nurhaliza menyanyi di ABPBH 3.0 

KUALA LUMPUR: Suatu kejutan dan hadiah buat peminat, penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza akan beraksi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 yang bakal disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.

Pada persembahan itu, pemenang tujuh kali gelaran Bintang Paling Popular ABPBH itu akan mendendangkan single Segala Perasaan yang dipetik daripada album terbarunya, SimetriSiti. Memberitahu BH Online, Siti teruja kerana buat julung kalinya, peminat dapat mendengar lagu Segala Perasaan secara 'live'.

"Pada awalnya, Siti mendapat tawaran untuk membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH. Tetapi waktu itu, Siti tak dapat nak terima atas beberapa sebab. "Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pihak pengurusan dan kebetulan Siti tidak begitu sibuk, Siti tunaikan hasrat itu. "Memang sangat teruja dan rasa bertuah kerana dapat hadir dan diberi peluang untuk membuat persembahan pada penganjuran ABPBH yang ke-30," katanya.

Kali terakhir Siti membuat persembahan di pentas ABPBH adalah pada edisi 2014, berduet dengan Dayang Nurfaizah untuk segmen penghormatan kepada Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

TOP