Sam siapkan rumah untuk anak sulung​​​​​​​

Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bh.com.my

Pelakon terkenal, Shaheizy Sam, 34, membina rumah baharu bagi menyambut kelahiran anak sulungnya, yang dijangka pada pertengahan bulan depan.

Katanya rumah yang dibangunkan bersebelahan kediaman ibunya, pelakon Khaty Fauziah itu sebenarnya sudah lama dirancang, namun baru kini ia dapat direalisasikan.

“Sam sangat teruja untuk menimang cahaya mata sehingga membina rumah untuknya. Tambahan pula, sambutan Hari Raya kali ini lebih meriah dengan kehadiran orang baharu dalam keluarga.

“Sam sendiri tidak menyangka mendapat zuriat. Maklum saja, sebagai anak bongsu, Sam sentiasa berasakan diri ini sebagai adik. Jadi, dalam kepala masih terfikir diri Sam masih kecil, sedangkan kini sudah pun beristeri dan bakal menjadi bapa.

“Kadang-kadang, apabila berjumpa dengan orang muda, Sam rasa mereka lebih tua daripada Sam. Tiba-tiba, apabila hendak mendapat anak, baru terfikir, Sam bukan muda lagi,” katanya yang turut mengaku sudah membuat persiapan menyambut kehadiran bayi sulungnya.

Ditanya mengenai nilai kediaman baharu berkenaan, bintang Polis Evo yang turut dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) ini enggan mendedahkannya.

Sementara itu, Sam berkata, beliau tidak pernah menghalang isterinya, Syatilla Melvin, 26, daripada terus bergiat aktif dalam lakonan selepas bergelar ibu nanti.

Sam yang juga Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali ini, berkata beliau lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada Syatilla untuk memutuskannya.

Pada masa sama, katanya, beliau tidak gusar andai isterinya memutuskan untuk berhenti berlakon kerana wanita terbabit turut mempunyai perniagaan fesyennya sendiri.

“Sam tidak mengongkong Tilla (Syatilla) dalam hal ini. Kalau dia hendak aktif berlakon balik, tidak mengapa, kerana ada masanya memang kita akan rindu untuk beraksi di depan kamera selepas lama tidak berbuat demikian.

“Sama sendiri ada masanya berasa penat hendak terus berlakon, tetapi selepas sebulan berehat, umpamanya, pasti keinginan untuk kembali mengasah bakat di lokasi penggambaran akan dirasa. Kita bagai gian untuk memainkan watak orang lain,” katanya.

TOP