Produksi Munafik 2 beri laluan ABPBH 3.0

KUALA LUMPUR: Penggambaran filem Munafik 2 direhatkan seketika bagi membolehkan pelakon utama yang juga pengarahnya, Syamsul Yusof, membuat persiapan menghadapi malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Ahad ini.

Bukan sekadar bergelar calon akhir dalam kategori online menerusi Gandingan Serasi Filem, bersama Nabila Huda, hasil lakonan mereka dalam Munafik pertama, Syamsul juga akan muncul di pentas menjayakan segmen persembahan. Pada malam penuh gemilang yang bakal disiarkan secara langsung menerusi TV3 itu, artis lelaki terbabit akan berkongsi pentas dengan pemenang Bintang Paling Popular tiga kali, Mawi, dan penyanyi rap terkenal tanah air, Altimet.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, daripada Skop Productions Sdn Bhd berkata, penggambaran filem bercorak seram dan Islamik yang bermula sejak 20 Mac lalu, dijangka berakhir dalam masa terdekat. "Saya dimaklumkan Syamsul akan menghentikan seketika penggambaran Munafik 2 yang kini banyak tertumpu di sekitar Perak. "Selaku penerbit, saya tidak mempunyai masalah untuk memberi laluan kepada majlis kemuncak ABPBH 3.0 yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

Kami turut berbangga apabila Munafik yang mewakili produksi Skop dicalonkan dalam kategori online. "Saya tahu Syamsul diberi peluang untuk mengadakan persembahan pada malam penentuan nanti dan sudah tentu dia memerlukan masa untuk berlatih dan menjalani raptai.

"Setidak-tidaknya pelakon dan kru produksi Munafik 2 dapat berehat seketika selepas berhempas-pulas sejak Mac lalu bagi memastikan filem ini menjadi antara naskhah yang dinantikan penonton, tahun depan," kata Yusof kepada BH Online.

Selain Syamsul, filem berkenaan turut membariskan beberapa pelakon hebat lain termasuk Maya Karin, Mawi, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi dan Mak Engku. Tidak ketinggalan menjayakan naskhah terbabit ialah pelakon asalnya, Datuk Rahim Razali dan Fizz Fairuz.

TOP