Perang poster undian ABPBH 3.0 makin rancakt

Oleh Syarrizuan Abdul Rashid
bhhip@bh.com.my

Bahang undian Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) terus hangat apabila peminat mula melancarkan perang poster untuk meraih undi bagi artis kesayangan mereka.
Poster dengan wajah artis yang dicalonkan berserta kategori masing-masing mula bertebaran dan dimuat naik di laman sosial, terutama laman Instagram dan Facebook, sejak hari pertama undian dibuka pada 5 April lalu.
Antara yang paling awal tampil dengan poster kempen undian ialah soldadu penyanyi dan pelakon sensasi, Ayda Jebat. Kempen itu tentu saja digerakkan oleh kelab peminatnya yang dikenali sebagai AJ Screamer (AJS).
Wakil AJS yang dikenali sebagai Lee berkata, penyokong tegar Ayda sudah mula mengundi sebaik saja ia dibuka bagi memastikan buah hati kesayangan mereka menang pada penganjuran kali ini.
“Kami memang sudah rancang dan susun strategi tertentu, termasuk penyebaran poster bagi memastikan semua peminat Ayda mengundi tanpa jemu.
“Kami mahu Ayda mengungguli kategori yang dipertandingkan kerana percaya pada kemampuannya di bidang seni,” katanya kala dihubungi HIP.

Peminat Ayda bersengkang mata

Ayda ketika ditemui pula berkata, beliau terharu dengan sokongan tanpa belah bahagi peminatnya.
Beliau menyerahkan segala-gala kepada AJS untuk menggerakkan undian dan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk dirinya berjuang dalam ABPBH 3.0.
“Mereka sudah terlalu banyak berkorban untuk saya. Saya tahu, ada juga yang sanggup bersengkang mata. Saya selalu ingatkan mereka agar berpada-pada dan jangan terlalu berharap.
“Pesan saya pada mereka, kalau ada rezeki, ia tidak ke mana,” katanya yang memang diakui mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.
Penyanyi lagu Pencuri Hati itu juga berkata, beliau tetap ingatkan peminatnya agar menjaga kesihatan dan jangan abaikan masa rehat mereka.
Selian kategori utama iaitu Penyanyi dan Pelakon Wanita TV Popular, Ayda turut tersenarai dalam kategori sampingan iaitu Artis Berpengaruh di Laman Sosial dan Gandingan Serasi Drama.

Ifa ingin pertahan anugerah

Pemenang anugerah Artis Versatil Popular edisi lalu, Ifa Raziah, turut berbesar hati dengan kesungguhan kelab peminatnya yang sanggup bersengkang mata membuat undian.
Beliau berkata, sejak undian dibuka, semua ahli kelab peminatnya sudah memulakan gerak-gempur membuat undian di laman web ABPBH bagi memastikan dirinya mendapat undian yang selesa.
“Mereka mahu melihat saya mempertahankan anugerah yang dimenangi pada ABPBH 29. Saya tentunya berasa amat bertuah kerana ada kelab peminat yang menyokong dengan penuh kasih-sayang.
“Saya mengikut segala perancangan yang mereka aturkan dan pastinya saya juga mahu mempertahankan kemenangan berkenaan,” katanya.
Lebih terharu, Ifa berkata, kelab peminatnya turut mereka poster untuk memastikan kempen mengundi dirinya berjalan dengan lancar dan dapat disebarkan kepada khalayak.

Haiza Troopers beri sokongan

Haiza, yang dicalonkan dalam kategori Penyampai Radio Popular dan Artis Versatil Popular juga turut mendapat sokongan padu daripada kelab peminatnya.
Peminat penyanyi yang kembali menjadi sebutan ramai sejak dua tahun lalu itu, yang digelar sebagai Haiza Troopers, ingin memastikan supaya nama beliau berada dalam senarai teratas dalam pencalonan membabitkan dirinya.
“Saya sendiri bersyukur kerana mereka sanggup melakukan semua ini buat saya tanpa sebarang paksaan.
“Mereka mahu supaya nama saya menjadi antara calon yang mendapat undian tertinggi. Saya hanya mampu tersenyum dan menyokong usaha mereka,” katanya terharu.
Haiza berkata, beliau tidak mahu menyimpan harapan menggunung untuk membawa pulang anugerah, namun tetap bersemangat untuk bersaing selepas mendapat sokongan peminat.
“Saya serahkan semuanya kepada rezeki. Kalau ada rezeki untuk menang, ia memang sesuatu yang manis buat saya,” katanya.

Izzue lancar kempen terbuka

Bagi Izzue Islam, beliau juga mengakui antara artis yang bertuah kerana dipayungi kumpulan peminat yang sentiasa setia menyokong kerjaya seninya.
Beliau berkata, selain memberikan fokus kepada peminat kumpulan peminatnya yang digelar Izzuezerss, dirinya turut melancarkan kempen secara terbuka kepada pengguna media sosial.
“Inilah kali pertama ABPBH menggunakan kaedah undian secara online dan kami sudah pun memulakan proses mengundi sebaik saja ia dibuka. Peminat juga sudah tahu peranan mereka.
“Paling saya kagum apabila mereka memilih untuk menjalankan kempen terbuka dan bukan hanya pada kelompok peminat,” katanya yang bersaing dalam kategori Pelakon TV dan Filem Lelaki Popular.
Dalam kategori Artis Kolaborasi / Duo / Kumpulan Popular pula, Izzue bertanding bersama kumpulannya, Forteen.

Untung ada peminat kumpulan

Akuinya, beliau mendapat kelebihan kerana peminat kumpulan Forteen, iaitu Forteenagers, juga akan mengundi dirinya.
“Saya beruntung kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua kumpulan ini,” katanya.
Antara artis lain yang turut aktif dalam kempen pengundian dan poster untuk ABPBH 3.0 ialah Janna Nick, Erra Fazira, Azrel Ismail, Khai Bahar, Mira Filzah, Fattah Amin, Zara Zya, Diddie Alias, Ruhainies, Indah Ruhaila, Siti Saleha, Fasha Sandha, Amira Othman, Mia Ahmad, Wany Hasrita, Zul Ariffin, Redza Rosli, Nadia Brian, Wani Kayrie, Sweet Qismina, Mawar Rashid, Alif Satar dan Siti Nordiana.
INFO

UNDIAN ABPBH 3.0

* Undian bermula pada 5 April hingga 30 April 2017.
* Undian boleh dibuat 24 jam sehari.
* Setiap daftar masuk membolehkan undian dibuat sebanyak 20 kali untuk mana-mana calon bertanding dan proses sama boleh disambung selepas 30 minit.
* Undian boleh dibuat di www.abpbh.com.my

TOP