'PELUANG HEBAT MENYANYI DI PENTAS ABPBH 3.0' - ELLY MAZLEIN

PUTRAJAYA: Penyanyi, Elly Mazlein, mengaku tawaran menjayakan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 malam esok sebagai peluang besar yang tidak mampu dilepaskan. Elly, 36, yang turut dikenali sebagai pelakon, juga tidak henti-henti meluahkan kesyukuran apabila diberikan ruang berkongsi bakat di pentas acara hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu.

Ditemui ketika mengadakan latihan menjelang malam penentuan ABPBH 3.0 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini Elly berkata, undangan daripada penganjur, BH, dan stesen penyiar, TV3, dianggap sebagai rezeki serta penghargaan mereka buat dirinya. "Seperti yang dapat dilihat oleh orang ramai, dulu saya ditimpa pelbagai ujian dan kini, hikmah serta rezeki bagai datang berlipat ganda. Saya mensyukuri segala peluang yang dihulurkan dan semua ini adalah rezeki anak saya," kata ibu tunggal kepada Putri Sara Sefhia, 1 tahun.

Kata Elly, ketika TV3 menghubunginya untuk mengundang beliau bagi sama-sama menghangatkan segmen persembahan acara berprestij berkenaan, dia cukup terkejut kerana tidak sesekali menyangka akan diberikan peluang sedemikian. "Tawaran ini sudah tentunya satu rezeki dan ia peluang yang sangat besar dalam kerjaya saya, serta undangan yang tidak boleh ditolak," katanya.

Elly bakal bergandingan dengan bakat muda yang kian menyinar, Ayda Jebat, dalam persembahan penutup yang pastinya menggegarkan dewan acara. Tambah Elly, pada masa sama beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apabila mengadakan persembahan yang nyata berbeza daripada mana-mana pertunjukan pernah dijayakan sebelum ini.

"Saya mengaku sangat berdebar sebab boleh dikatakan, inilah kali pertama saya dijemput membuat persembahan pada majlis sebesar ini. Impian saya juga boleh dianggap tercapai akhirnya. "Terima kasih kepada pihak produksi kerana memberikan saya peluang berharga ini.

Berganding pula dengan Ayda mempersembahkan lagu Pencuri Hati, jadi saya betul-betul mahu mencuri hati peminat dengan persembahan ini," katanya yang berharap dapat kembali mengadakan persembahan di pentas ABPBH akan datang. Bintang sensasi ini juga berkata, seperti peminatnya yang tidak sabar untuk menonton persembahan beliau, dirinya sendiri cukup teruja untuk menghiburkan mereka.

Acara kemuncak ABPBH 3.0, yang akan turut dimeriahkan dengan kemunculan Fauziah Ahmad Daud, Faizal Ismail dan Zulin Aziz selaku hos, akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 mulai jam 9 malam esok.

TOP