KEHADIRAN RADIN DI ARENA RADIO MULA DISEDARI

KUALA LUMPUR: Memasuki tahun ketiga dalam dunia penyiaran, penyampai Era, Radin melihat pencalonannya hingga ke peringkat Top 5 pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 meninggalkan kesan cukup besar pada kerjayanya.

Begitupun, Radin atau nama penuhnya Radin Amir Effendi, 27, enggan terlalu berharap untuk menjulang trofi Penyampai Radio Popular pada malam kemuncak anugerah terbabit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini. "Saya terkejut, malah tidak menyangka akan berada dalam senarai pencalonan Top 20 awalnya, dan kini jadi Top 5 pula. Ia sesuatu yang tidak dijangka kerana pesaing saya bukan calang-calang.

"Masing-masing berpengalaman dan mempunyai kelompok peminat tersendiri. Jadi, saya tidak mahu menaruh harapan tinggi. Menang atau kalah pula memang adat bertanding," katanya. Katanya, beliau enggan terlalu memikirkan perkara itu kerana baginya, berada dalam kelompok lima teratas sudah menjadi isyarat kehadiran beliau di arena penyiaran mula disedari.

"Peminat dan pemerhati seni mula nampak apa yang saya lakukan. Suara saya didengari di radio Era dan fizikal saya pula dapat dilihat menerusi program PM Live," katanya. Dalam kategori Penyampai Radio Popular, Radin bersaing dengan empat lagi calon akhir iaitu DJ Lin daripada Suria, Haiza (Kool FM), Ikhwan (Kool FM) dan Johan (Era).

Pada edisi ke-29 ABPBH, trofi kategori terbabit menjadi milik DJ Lin. Sementara itu, tidak kurang peminat yang beranggapan pencalonan sulungnya pada acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia terbabit ada kaitan dengan gosip percintaan beliau bersama artis sensasi, Ayda Jebat, tahun lalu.

Gosip keakraban mereka mula diperkatakan ramai selepas kedua-duanya digandingkan dalam segmen Carta 40 Era, ketika Ayda dijemput sebagai tetamu di konti. Namun, gosip itu kini dilihat bernoktah selepas Ayda baru-baru ini dikaitkan pula dengan pelakon, Redza Rosli.

"Saya tak nafikan, barangkali gosip itu sedikit sebanyak membantu dalam 'memperkenalkan' diri saya kepada peminat. Kalau saya menafikan andaian itu, macam mustahil juga. "Cuma, saya melihatnya dari sudut positif. Segmen radio itu menjadi 'trending' dan Ayda pula menjadi tetamu saya di konti sebanyak empat kali," katanya.

TOP