Haqiem perjelas tindakan sunting gambar peminat

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin
mohdaizat@bh.com.my
Penyanyi baharu, Haqiem Rusli, 19, tidak menganggap tindakan menyunting gambar yang dimuat naik ke laman Instagram peribadinya sebagai perbuatan tak menghormati peminat wanitanya.

Haqiem yang popular dengan lagu Segalanya juga berkata, beliau bukannya ingin dilihat sebagai alim dengan berbuat begitu, tetapi hanya meletakkan batasan agama dalam setiap tindakan.

"Apabila saya memuat naik gambar yang menampakkan aurat wanita, tentu sekali saya yang menanggung dosa. Malah, didarab pula dengan berapa ribu peminat lain yang melihat dan berkongsi gambar terbabit.

"Jadi saya tidak berasakan tindakan itu salah, sebaliknya cuba untuk meletakkan batasan agama dalam setiap perkara dilakukan," katanya.

Kata Haqiem juga, beliau sememangnya meletakkan batasan untuk tidak bersalaman dengan peminat wanita, namun tetap melayan setiap permintaan bergambar bersama.

"Sebelum ini, saya ada menulis di Twitter, saya takkan bersalaman dengan peminat wanita. Namun, saya tetap menghormati mereka, malah setiap permintaan peminat untuk bergambar, saya cuba untuk penuhi.

"Daripada komen yang saya terima, semuanya positif. Mereka menerima tindakan yang saya lakukan itu," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, beliau akan muncul dengan single terkini, Tergantung Sepi, yang dijangka dilancarkan pada Mei depan.

Bagi single keduanya itu juga, beliau sekali lagi bekerjasama dengan komposer lagu Segalanya, iaitu Gouffran dan Ibnu.

Sementara itu, Haqiem yang turut melekat namanya dalam senarai awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-30 (ABPBH 3.0) cukup teruja dengan pencalonan terbabit.

Katanya, dicalonkan dalam ABPBH 3.0 menjadi pengiktirafan di sebalik hampir sedekad perjalanan seninya.

“Saya mula menyanyi sejak usia 10 tahun lagi dengan menyertai Idola Kecil. Selepas itu, perjalanan seni saya ada episod turun dan naiknya sendiri.

“Hinggalah muncul lagu Segalanya yang diterima baik oleh peminat. Malah, saya dapat rasakan pencalonan dalam ABPBH ini juga bertitik tolak daripada populariti lagu terbabit,” katanya.

TOP