DJ LIN HARAP TUAH DEMI PEMINAT

KUALA LUMPUR: Penyandang trofi Penyampai Radio Popular, DJ Lin tetap bersemangat untuk mengekalkan kemenangannya pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, meskipun terpaksa berdepan saingan sengit terutama daripada penyampai ERA, Johan.

Akur sukar untuk meramalkan apakah keputusan pada ABPBH 3.0 akan masih menyebelahinya atau sebaliknya, DJ Lin bagaimanapun, optimis dengan kesungguhan peminat yang ingin melihat kejayaan terus berpihak kepadanya. "ABPBH 3.0 memberikan cabaran besar untuk saya mempertahankan kemenangan, terutama apabila format undian beralih sepenuhnya kepada online.

Sukar untuk saya meramalkan peluang kali ini, apatah lagi Johan terlebih dulu meraih kemenangan pada kemuncak Anugerah MeleTOP, baru-baru ini. "Saya bagaimanapun, optimis dengan usaha peminat yang terus meniupkan kata semangat dan kekuatan supaya tidak mengalah.

Mana tahu, berkat kesungguhan, hasrat mereka untuk melihat saya kembali ke pentas menggenggam trofi ini akan menjadi kenyataan. "Apa pun, saya ingin berterima kasih kepada ABPBH kerana kemenangan pada edisi lalu memberi impak yang sangat besar kepada perjalanan kerjaya saya," katanya. Selain Johan, DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid turut menerima tentangan daripada dua penyampai Kool FM iaitu Ikhwan dan Haiza serta Radin yang kali pertama membolosi Top 5 kategori itu.

"Masing-masing mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri untuk dijulang sebagai pemenang, namun populariti Johan mungkin mampu mengekang kemaraan kami. Tetapi, apa saja boleh terjadi pada malam kemuncak esok dan saya hanya berserah kepada ketentuan rezeki.

"Siapa pun yang menang, saya berharap industri radio akan terus bernyawa kerana pengiktirafan yang diberikan ABPBH ini memberi suntikan semangat untuk kami terus menyemarakkan dunia penyiaran," katanya. DJ Lin sebelum ini memenangi trofi DJ Radio Wanita Terbaik Malaysia manakala program kendaliannya iaitu Suria Cinta pernah dua kali diiktiraf sebagai rancangan Interaktif Radio Terbaik (Suria Cinta) pada Anugerah Seri Angkasa 2005 dan 2010. Anak kelahiran Johor itu juga pernah menerima Anugerah Ikon Wanita Muda Negara pada tahun 2012.

TOP