Dayang Tampil Kelainan Di Pentas ABPBH 3.0

PUTRAJAYA: Dayang Nurfaizah mengakui, kemunculannya pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, malam esok, sangat istimewa dan berbeza daripada bentuk persembahan yang sering dipamerkan.

Dayang berkata, beliau bakal mempersembahkan lagu asli yang diberi nafas baharu sebagai dedikasi istimewa buat seorang tokoh seni tempatan. "Saya akan membawakan lagu yang tidak pernah saya nyanyikan sebelum ini, malah tidak berpeluang mengalunkannya pada persembahan biasa. "Saya teruja membawa lagu ini dan berharap peminat akan menyukai persembahan yang bakal saya nanti," katanya.

Janji penyanyi yang sedang popular dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta itu, beliau akan berusaha memberikan yang terbaik dan menghayati emosi lagu terbabit. Bercerita lanjut, penyanyi yang memiliki kekuatan vokal tersendiri itu berkata, setiap insan seni pasti mengimpikan untuk berdiri dan membuat persembahan di pentas penuh berprestij itu. "Saya gembira masih menerima kepercayaan untuk menyanyi pada malam kemuncak ABPBH 3.0.

Bagi saya, acara ini sangat istimewa kerana ia mengeratkan hubungan sesama penggiat seni dan peminat. "Saya percaya, setiap penyanyi tidak akan melepaskan peluang untuk berdiri di pentas ABPBH kerana kedatangan acara ini dinanti semua peminat hiburan," katanya. Untuk kemunculan istimewanya itu, Dayang bakal menggayakan persalinan daripada pereka kegemarannya, Rizalman sebagai pelengkap gaya.

TOP