Anugerah Bintang Popular BH 29

Berita

Neelofa Bintang Paling Popular ABPBH 29

9 May 2016 @ 12:01PM
Neelofa Lofa abpbh29 ABPBH Respek

PUTRAJAYA: Keampuhan populariti pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa terbukti apabila merangkul gelaran Bintang Paling Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29), malam ini.

Kemenangan Neelofa meruntuhkan dominasi artis lelaki yang mengungguli kategori itu selama lima tahun berturut-turut, selepas kali terakhir dimenangi artis wanita pada ABPBH 2009 menerusi kejayaan Datuk Siti Nurhaliza.

Meraih 212,829 undian, Neelofa yang dicungkil menerusi pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 itu menafikan kemaraan pencabar terdekatnya iaitu bakat baharu yang sedang memuncak populariti, Mira Filzah selain meranapkan harapan Shaheizy Sam untuk mengulangi pencapaiannya.

Kemenangan itu melayakkan Neelofa, 27, membawa pulang hadiah utama iaitu kereta Volkswagen Passat bernilai RM173,888 tajaan Volkswagen Group Malaysia berserta trofi yang diterimanya daripada peminat pada acara kemuncak yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Selain trofi Bintang Paling Popular, Neelofa turut mengukuhkan posisinya dalam bidang pengacaraan apabila mengungguli kategori Pengacara TV Popular.

Neelofa bagaimanapun, terpaksa akur kepada populariti Fathia Latiff yang dinobatkan peminat sebagai Pelakon Filem Wanita Popular.