Anugerah Bintang Popular BH 29

Berita

Isyana Sarasvati teruja beraksi di pentas ABPBH 29

9 May 2016 @ 11:56AM
Isyana Sarasvati abpbh29 ABPBH Respek

PUTRAJAYA: Penyanyi Indonesia, Isyana Sarasvati, 23, teruja beraksi secara langsung buat julung kali di Malaysia menerusi persembahan pada acara kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, malam ini.

Pelantun lagu Tetap Dalam Jiwa itu berharap penampilan pertama di sini dapat mendekatkan lagi dirinya dengan pendengar tempatan yang selama ini hanya mengikuti dendangannya di YouTube mahupun radio.

"Saya berbesar hati diberi kesempatan berkongsi karya muzik dengan pencinta muzik Malaysia apatah lagi muncul pada majlis pengiktirafan besar seperti ABPBH yang tentu saja menjadi landasan awal mempromosikan lagu saya.

"Malam ini saya turut memainkan instrumen kegemaran sambil mengalunkan dendangan yang berada di carta lagu stesen radio di sini berjudul, Tetap Dalam Jiwa," katanya yang diterbangkan khas dari Jakarta untuk ABPBH 29.

Mengimbas latar belakang anak seni yang dibesarkan di Belgium itu, asalnya dia lebih cenderung terhadap genre klasikal bernada soprano sebelum melangkah ke muzik arus perdana sejak dua tahun lalu bersama lagu Inggeris, Keep Being You, disusuli dendangan lain yang meraih sambutan luar biasa di Indonesia.

Tidak hairan penyanyi yang mula menggubah lagu sejak usia tujuh tahun itu mampu membawa pulang pelbagai pengiktirafan dari luar negara dan di arena muzik negara sendiri di atas hasil kerja serta karya nukilannya.

Turut mengagumi Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid, dia berharap suatu masa nanti berpeluang berkongsi pentas atau berkolaborasi dengan kedua-dua figura seni yang menjadi idola ramai itu.