Anugerah Bintang Popular BH 2013

Berita

Bakat, kontroversi seiring

11 January 2013 @ 3:01PM

Finalis bersama wakil penganjur dan penaja pada sidang media ABPBH 2012 di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, semalam.

Sama ada suka ataupun tidak, kontroversi memainkan peranan penting kepada kerjaya dan juga populariti seseorang artis. Buktinya, ramai calon awal yang berjaya membolosi senarai Top 5 Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 mempunyai kisah kontroversi mereka tersendiri.

Melihat senarai calon akhir, ia seakan mengesahkan kenyataan itu kerana kebanyakan mereka pernah menggemparkan dunia hiburan dengan cerita sensasi yang terpampang di media cetak, elektronik dan juga maya.

Fasha Sandha

Antara artis yang pernah mencetuskan kontroversi ialah Neelofa, Hanez Suraya, Emma Maembong, Nabila Huda, Johan As’ari, Izara Aishah, Shila Amzah, Hafiz, Adira, Fasha Sandha, Adi Putra, Nora Danish, Jepp Sepah dan ramai lagi. Sepanjang tahun lalu, mereka ini menjadi buruan media gara-gara kisah hangat yang dicetuskan.

Paling mengejutkan pastinya Neelofa yang bergelar finalis dalam tiga kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV
Wanita Popular. 

Walaupun memiliki produk, tetapi ingatan peminat lebih tertumpu kepada cerita panas wanita muda ini seperti episod ‘pergaduhan’ dengan pelakon seangkatan, Anzalna Nasir. Hubungan intim dengan aktor kacak, Hans Isaac, serta komen negatif pereka fesyen terhadap perangainya yang dikatakan tidak profesional hangat diperkatakan tahun lalu.

Didie Alias dan Along mengacarakan sidang media kedua ABPBH 2012

Cerita panas jadi bualan
Pelakon, Hanez Suraya, juga tidak ketinggalan mempunyai kisah kontroversi yang mengundang perhatian ramai. Boleh dikatakan, kontroversi membabitkan Hanez lebih diingati berbanding produk lakonannya, sekalipun sudah membintangi pelbagai drama.

Hubungan cinta yang dijalin dengan penyanyi, Awi Rafael, turut menjadi topik bualan ramai peminat serta media. Bagaimanapun,
kisah paling diingati tentunya episod sindir menyindir menerusi laman sosial antara dirinya dengan bintang rock, Amy Search dan isteri, Norish.

Kumpulan One Nation Emcees dan Jimmy Palikat.

Artis baru yang turut tersenarai ke peringkat akhir, Emma Maembong, juga tidak kurang hebatnya. Namun bukan kehebatan lakonan yang menjadi buah mulut, sebaliknya gambar mesra bersama bekas kekasih yang tersebar di internet lebih menarik minat. Begitu juga cerita dirinya tidak hadir pada sesi fotografi yang hangat dibualkan.

Kumpulan Sleeq

Artis bersih juga dikenali
Sekalipun kontroversi mengenai mereka diperkatakan, tetapi kita tidak menafikan artis berkenaan juga memiliki kelebihan serta bakat dalam bidang seni. Nabila Huda umpamanya, menjadi rebutan produser kerana bakat lakonan yang kian menyerlah, terutama dalam membawakan watak antagonis ataupun wanita teraniaya.

Calon akhir kategori online, Nadiya Nisaa.

Penyanyi seperti Shila Amzah juga antara artis yang menyerlah dengan bakat, tetapi ia seiring cerita panas. Kejayaan demi kejayaan dikecapinya sejak akhir-akhir  ini mengesahkan keupayaan bukan kecil yang ada pada diri Shila, namun pada masa sama kisah cinta bersama Sharnaaz Ahmad turut mengekori rapat di belakang.

AG dan Zizan

Dalam pada kita melihat artis kontroversi yang berjaya ke peringkat Top 5, ada juga artis sifar kontroversi yang mampu membolosi senarai akhir. Kelompok ini boleh dianggap mencipta nama berbekalkan bakat semata-mata. Antaranya Jihan Raja Lawak, Angah, DJ Lin, AC Mizal, Nad Zainal, Bront Palarae, Izzue Islam, Didie Alias, Yuna, Jaclyn Victor, Black, Hazama, Aizat, Shaheizy Sam dan Zizan.

Vokalis Mojo, Aweera dan Hazama.

Mereka berjaya membuktikan, bakat mampu menjadi faktor utama dalam mencipta kemasyhuran serta kejayaan berbanding cerita peribadi. 

Siti Saleha dan Izzue Islam.

Faktor kemampuan melayan peminat juga menjadi elemen penting untuk membolehkan mereka berada dalam kelompok popular. Antara artis yang dilihat sangat menjaga hubungan akrab bersama peminat hingga melayakkan mereka ke senarai Top 5 ialah Aaron Aziz, Adi Putra, Yana Samsudin dan Fasha Sandha.

Aaron Aziz

Siri jelajah ke Sabah, Sarawak
Majlis pengumuman lima finalis 15 kategori dipertandingkan serta calon akhir kategori online dilakukan Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH2012, Hanizam Abdullah dan Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2012, dan Shamshul Azree Shamshir.

Shamsul Azree dan Hanizam ketika mengumumkan calon akhir ABPBH 2012.

Pada majlis sama, Pengarang Kumpulan BH juga selaku Penaung ABPBH2012, Datuk Mior Kamarul Shahid, menerima penyerahan tajaan daripada rakan penaja iaitu Penaja Emas, Habib Jewels Sdn Bhd; Penaja Perak, Edaran Tan Chong Motor; Stesen TV Rasmi, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3); Rakan Penaja Solekan Rasmi, AVON Cosmetics (M) Sdn Bhd; Rakan Penaja, Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd; Penaja Lokasi Sidang Media, Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya; Rakan Penaja; Star Cruises Travel Sdn Bhd; Pengangkutan Rasmi Jelajah, Empayan Holding Sdn Bhd; Penerbangan Rasmi, Air Asia Berhad; Stesen Radio Rasmi, Hot FM dan Lokasi Malam Kemuncak, Perbadanan Stadium (M) Sdn Bhd.

Sebahagian penaja yang turut memeriahkan acara.

Sumber: Berita Harian

www.bharian.com.my