#ABPBH29 Trending di Seluruh Dunia

KUALA LUMPUR: Detik penentuan Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) malam tadi mencatat sejarah tersendiri di laman media sosial Twitter apabila #abpbh29 digunakan dalam lebih 59,000 tweet di seluruh dunia.

Kekerapan itu menjadikan #abpbh29 dalam senarai 10 hashtag teratas atau trending di alam maya.

Momentum penggunaan #abpbh29 mula mencatat kekerapan kira-kira seminggu lalu sebelum melonjak dalam tempoh 24 jam menjelang bermulanya siaran langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Setakat jam 12 tengah hari, 9 Mei 2016, 59,300 tweet menggunakan #abpbh29 direkodkan dan pemilik akaun Twitter terus memperkatakan mengenai majlis anugerah itu yang menobatkan artis jelita, Neelofa sebagai Bintang Paling Popular.

Kejayaan Neelofa itu turut menyaksikan #ilofayou membanjiri garis masa, selain #respek yang menjadi tema ABPBH 29.

Pelakon Mira Filzah yang merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular turut menjadi sebutan di Twitter dengan kira-kira 14,900 tweet mengandungi namanya.

Pemenang kategori online, Artis Trending Popular ABPBH 29, Ayda Jebat juga menjadi sebutan dengan kira-kira 21,000 tweet menyelitkan namanya.

ABPBH 29 mengumumkan pemenang bagi 13 kategori utama dan lima kategori online selain Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diberi kepada pelakon Fauziah Ahmad Daud.

TOP